HomeNiagaUsahawan PKS agenda pertama kerajaan bantu memudah cara pembiayaan

Usahawan PKS agenda pertama kerajaan bantu memudah cara pembiayaan

KUALA LUMPUR: Usahawan kecil dan sederhana terjejas akibat pandemik COVID-19 adalah agenda pertama kerajaan untuk membantu golongan itu bangkit semula merancakkan ekonomi negara, sebaik fasa peralihan ke endemik.

Justeru, antara usaha proaktif kerajaan adalah mempermudahkan urusan soal pembiayaan dalam perniagaan dengan mengenepikan CTOS dan CCRIS.

Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawab Koperasi Parlimen (MPUKP) Gombak merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya percaya fasa pandemik COVID-19 menyebabkan semua peniaga dan usahawan dalam negara terjejas, termasuk rekod kewangan selain tersenarai dalam CTOS dan CCRIS.

Justeru, katanya, semua agensi di bawah kementerian tidak lagi mengamalkan konsep ‘red tape’ atau terlalu birokrasi.

“Jadi, semua pengusaha jangan risau, AIM, TERAJU, TEKUN, BMS, semua ini di bawah agensi kementerian, tidak ada lagi amalkan soal red tape.

“SME ,SME Corp, Bank Rakyat ada berikan bantuan awal (modal) perniagaan, sekurang-kurangnya RM30,000. Kalau besar lagi, pergi kepada SME, PUNB, ada RM500,000.

“Kita ubah (konsep), supaya tidak menjadi agensi yang tidak menyusahkan rakyat dalam keadaan rakyat cukup sukar menghadapi situasi kesan pandemik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bazar Pagi Rakyat di Kompleks Lincah Mahaguru Omar (KLMO) anjuran MPUKP Gombak, di sini.

Program berkenaan mendapat kerjasama AIM, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Gombak, Kelab Usahawan Gombak dan Kelab Usahawan Ikhtiar Selayang.

Yang turut hadir, Timbalan Pengurus Wilayah Selangor/Kuala Lumpur AIM, Saipul Nizam Mat, dan Pengerusi Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Melayu Cawangan Gombak (PPPKM) Selangor, Erma Fatimah Hamid.

Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata, lokasi penganjuran diberikan secara percuma kepada peniaga atas niat untuk membantu untuk mengurangkan beban mereka yang sering menghadapi masalah mendapatkan tempat niaga.

“Kebetulan saya mempunyai kompleks (KLMO) tinggalan arwah ayah saya, pernah berpesan supaya pastikan tempat ini boleh memberi manfaat kepada masyarakat khususnya orang Melayu.

“Kita tak kenakan bayaran (tapak) kerana niat untuk membantu. Ini adalah sedikit sumbangan daripada saya, dan rakan lain, yang penting sediakan tempat untuk mereka berniaga,” katanya.

Kompleks berkenaan boleh menempatkan lebih 100 peniaga, malah sebarang keputusan untuk menambah kekerapan operasi peniaga di tapak itu, beliau sebagai tuan rumah tidak masalah untuk memberi kebenaran pada bila-bila masa asalkan tempat itu terjaga.

Author

Pilihan Editor