HomeBeritaWarisan mahu PM dari Sabah, tiada tertindas kerana isu kaum atau agama

Warisan mahu PM dari Sabah, tiada tertindas kerana isu kaum atau agama

KUALA LUMPUR: Ramai yang memberikan pelbagai reaksi apabila Barisan Nasional (BN) mahu mencadangkan jawatan tiga Timbalan Perdana Menteri (TPM) jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Terdahulu Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, jawatan tiga TPM akan diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan Persekutuan pada PRU15 nanti.

Beliau dipetik berkata, jaminan melantik wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung mengisi jawatan itu akan dimasukkan dalam manifesto BN.

Antara yang tampil memberi pendapat adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Bryan Lai Wai Chong yang dulu DAP kini menyertai Warisan.

Bryan Lai berpendapat BN perlu mempertimbangkan calon Perdana Menteri (PM) dari Sabah jika mereka mendapat sokongan dominan pada PRU15 nanti.

“Sejak penubuhan Malaysia iaitu gabungan Sabah, Sarawak dengan Semenanjung, belum pernah lagi negara diterajui oleh anak jati Negeri Di Bawah Bayu.

“Sebagai warganegara, saya alu-alukan kita lantik PM dari Sabah, Sarawak kerana kami
mempunyai menteri yang cukup pengalaman mentadbir negara.

“Rakyat sudah sambut Hari Kebangsaan ke- 65, selama tempoh itu, pemimpin dari Semenanjung jadi PM saya tidak nampak perubahan yang baik isu perkauman dan agama, contohnya masih ramai tertindas di bawah undang-undang Syariah.

“Berbeza dengan Sabah, Sarawak rakyat pelbagai etnik dan agama hidup dalam harmoni, meraikan perbezaan dengan sejahtera, tiada dizalimi atas nama kaum atau agama,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Bryan memberitahu daripada lebih 15 parti politik yang ada hanya tiga parti mmpunyai calon PM iaitu UMNO, PKR dan Warisan.

“Tan Sri Mahiaddin Yasin berkata beliau boleh jadi PM, saya sendiri tidak setuju, Tun Dr Mahathir Mohamad kata dia ingin jadi PM lagi pada usia 97 tahun, saya nasihat bersaralah Tun.

“Yang tinggal UMNO dan PKR iaitu parti dari Semenanjung. Bagi saya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal calon Warisan dari Sabah, beliau layak jadi PM.

“Shafie memiliki rekod selama 32 tahun dalam UMNO, seorang pemimpin yang bersikap terbuka, lebih bersederhana dan diterima semua kaum.

“Selepas pandemik, kita harus mengenepikan isu perkauman dan agama serta harus fokus kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Author

Pilihan Editor