HomeBeritaWisma Putra sahkan 63 jemaah umrah terkandas sejak Jun di Arab Saudi

Wisma Putra sahkan 63 jemaah umrah terkandas sejak Jun di Arab Saudi

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri mengesahkan seramai 63 rakyat Malaysia dibawa kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah, terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.

Terdahulu, MEDIA VARIASI mendapat maklumat eksklusif mengenai nasib rakyat yang terkandas selepas diperdaya dengan berita kemunculan Imam Mahadi di padang Arafah.

Rombongan itu diuruskan oleh pemimpin tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Kholidiah, Habib Shah Firdaus Habib Ahmad.

Masalah mereka timbul selepas Habib Shah Firdaus ditahan kerajaan Arab Saudi kerana amalan tarekat melanggar undang-undang negara itu serta dihantar pulang ke Malaysia.

Menerusi kenyataan bersama Kementerian Luar Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), mereka terdiri daripada 28 orang dewasa dan 35 orang kanak-kanak dibawa untuk mengerjakan umrah di Madinah.

“Bagaimanapun, mereka hanya berada di Madinah sehingga hari ini dan tidak pernah dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah.

“Susulan daripada pelanggaran undang-undang tempatan, ketua kumpulan tarekat berkenaan telah diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Kerajaan bersetuju membantu urusan penghantaran pulang para jemaah yang sedang terkandas ini dengan usaha dan kerjasama antara agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan.

Dalam hal ini, Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan menyelaraskan urusan penghantaran pulang para jemaah berkenaan ke tanah air dalam masa terdekat.

Kementerian Luar Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan keselamatan dan kebajikan Keluarga Malaysia yang berada di luar negara sentiasa terpelihara.

Author

Pilihan Editor