HomeBeritaWujudkan biro bantuan guaman untuk wanita tertindas - Nurul Fadzilah

Wujudkan biro bantuan guaman untuk wanita tertindas – Nurul Fadzilah

SHAH ALAM: Isu penganiayaan wanita dan merasa tiada pembelaan secukupnya di bawah undang-undang Syariah bukanlah perkara baharu.

Kes pemenjaraan Emilia Hanafi telah membuka mata semua pihak bahawa perlunya beberapa penambahbaikan perlu dilakukan dalam menjaga kesejahteraan rakyat dan keluarga Islam agar mengikut prinsip agama dan kemanusiaan.

Peguam, Nurul Fadzilah Kamaluddin dari firma Fadzilah Kamaluddin & Co berkata, susulan isu penindasan terhadap wanita, kini sudah nampak pembaharuan di mana Persatuan Peguam Syarie menubuhkan pusat bantuan guaman syarie (BAGUS) untuk memberi khidmat secara percuma, namun ia tidak diuar-uarkan.

“Saya mencadangkan kerajaan perlu mewujudkan pasukan lebih besar, yang melibatkan Pertubuhan Bukan Kerajaan atau barisan peguam pemerhati yang boleh sentiasa ‘stand by’ dan turun padang melihat perjalanan kes wanita-wanita yang mendakwa mereka dizalimi.

“Saya sangat setuju dengan konsep penambahbaikan mahkamah Syariah dalam kalangan wanita, saya rasa benda seperti itu sangat penting, saya harap boleh libatkan wanita teraniaya dalam satu persidangan meja bulat di mana kita akan perjuangkan nasib mereka,” katanya selepas menghadiri Persidangan Srikandi Muda dan Armada Bersatu di Glenmarie Resort, di sini hari ini.

Seramai 150 perwakilan bahagian hadir dalam persidangan dua hari itu yang dilancarkan sejak semalam.

Dalam pada itu, Nurul yang juga Ketua Srikandi Muda Bersatu Malaysia yang desas desus mengatakan beliau bakal dicalonkan di Setiawangsa pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti berkata akan melakukan sebaik mungkin berkhidmat kepada rakyat.

Beliau menjelaskan penyertaannya dalam politik bermula dengan kesedaran selepas terbabit dalam aktiviti kebajikan yang dilakukan pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Daripada situ saya sedar untuk membantu lebih ramai orang perlu ada platform politik untuk bawa pembaharuan dalam sistem.

“Saya harap ada lebih ramai calon muda wanita akan bertanding pada PRU15 nanti sebagai satu usaha Bersatu untuk mencapai 30 peratus wanita dalam politik dan bidang kritikal.

“Dalam bidang Syariah, saya rasa banyak wanita perlu diselamatkan jika hendak ceritakan memang tak cukup sehari bercerita.

“Banyak penambahbaikan dan undang-undang yang perlu ditambah baik untuk menjaga keselamatan dan keharmonian wanita,” katanya.

Author

Pilihan Editor