HomeBeritaAdakah akta anti lompat parti tidak wujud, soal peguam

Adakah akta anti lompat parti tidak wujud, soal peguam

KUALA LUMPUR: “Kita tidak ada akta anti lompat parti, tetapi kita sudah ada pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk melarang atau menahan wakil rakyat daripada berpindah dari satu parti ke parti lain, berkuatkuasa 5 Oktober 2022 lalu,” kata Peguam Kanan, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Jahaberdeen berkata, meskipun tiada usul bagi menggubal undang-undang akta anti lompat parti, satu Perkara baharu 49A telah dimasukkan ke dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

“Asasnya, ia berlaku dalam tiga keadaan. Pertama, wakil rakyat telah berhenti menjadi ahli politik, maknanya dia meninggalkan atau ‘resign’.

Menurutnya, yang kedua, terdapat sebab lain yang mengakibatkan ahli politik berhenti daripada dalam parti seperti menghentikan keahliannya dan ketiga, bertanding sebagai seorang calon bebas.

“Katakan, selepas menang Pilihan Raya Umum (PRU), jika dia menyertai mana-mana parti politik, kerusi itu akan dikosongkan, dan dia akan terhenti menjadi wakil rakyat.

“Tetapi, Perkara 49A itu, menunjukkan wakil rakyat itu dikatakan terhenti, tidak semestinya terhenti (sebagai wakil rakyat).

Katanya, bila seseorang itu dibuang atau dipecat daripada parti politik, itu tidak termasuk sebagai terhenti, dia masih lagi sebagai ahli Dewan Rakyat (Parlimen). Itu tidak bermaksud dia telah berhenti daripada wakil rakyat.

“Di samping Perkara 49A, juga dimasukkan Perkara 160, di mana inilah fasa penakrifan, apakah itu parti politik untuk memudahkan pengenalan apa itu parti politik dari segi undang-undang.

“Justeru, tujuan diadakan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, Perkara 49A dan 160 adalah untuk memberhentikan berlakunya penghijrahan atau berpindah ke parti politik lain, atau lompat supaya rakyat dapat apa yang mereka pilih,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Akta A1663 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 2022 dan diwartakan pada 6 September tempoh sama.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga sudah perkenan tarikh kuatkuasa Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 pada 5 Oktober 2022 selaras dengan seksyen 1(2) dan seksyen 1(3) Akta A1663.

Penetapan tarikh baharu kuat kuasa bagi Akta A1663 itu bagi memudahkan pelaksanaan pindaan bagi seksyen 7A Jadual Kelapan, Fasal 6 Perkara 48, Perkara 160 dan Fasal baharu 3A Perkara 10 serta Perkara baharu 49A bahawa mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti pada atau selepas tarikh terbabit, akan hilang kelayakannya.

Sementara itu, Pengasas Pergerakan Rakyat Penyelamat Negara (RAPERA) itu berkata, perbincangan mengenai akta berkaitan berlaku sejak tahun 2018, apabila terdapat ramai ahli parti berpindah ke parti lain selepas PRU Ke-14 (PRU14).

“Kalau kita masih ingat selepas PRU14, ada beberapa ahli UMNO berpindah kepada parti Bersatu, begitu juga Sheraton Move terdapat ahli PKR tinggalkan parti dan masuk Bersatu.

“Pendek kata, fenomena Ahli Parlimen yang dipilih rakyat ketika berada dalam parti, kemudian meninggalkan parti dan masuk ke parti lain. Adakah perkara ini boleh berlarutan.

“Jadi, adakah bermakna rakyat yang memilih mereka telah ditipu dan timbul persoalan sedemikian,” katanya.

Justeru, beliau menyeru rakyat merujuk Perlembagaan semula bagi mengetahui undang-undang jika berlaku mengenai tindakan sedemikian supaya rakyat dapat apa yang mereka pilih.

 

Author

Pilihan Editor