HomeMV+PendapatAdat 'merisik' BN penentu landskap politik negara

Adat ‘merisik’ BN penentu landskap politik negara

APABILA dimaklumkan tukang undi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa sebanyak 70 peratus undi 18 tahun rosak, penulis mengeluh panjang terpampang wajah Syed Saddiq, pemimpin MUDA tukang pencadang yang akhirnya memberi kesan kepada negara.

Dua faktor undi rosak, satu kerana anak muda belum faham kesannya, hanya seronok swafoto dengan jari dicalit dakwat untuk kandungan TikTok masing-masing, dan juga kerana kurang bimbingan dewasa mengenai peranan mereka sebagai pengundi.

Mungkin perkara ini perlu dilihat semula dalam kerajaan baharu, jika tidak bak kata orang ‘jahanam negara’.

Segala-galanya menjadi huru-hara apabila tiga pakatan politik Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) gagal membentuk kerajaan kerana tidak cukup majoriti 112 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

PH yang paling banyak kerusi iaitu 82 kerusi memerlukan rakan politik untuk membentuk kerajaan, begitu juga PN yang mendapat 73 kerusi memerlukan rakan sekutu.

Sejarah tsunami politik lama tahun 2018 menyebabkan PH dan PN tidak boleh berkahwin semula orang kampung kata sudah ‘talak tiga’ kalau masih mahu kena ‘cina buta’.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan pendirian enggan menerima PH kerana sudah serik dengan janji dikhianati, tetapi masih membuka pintu untuk hidup bersama PN dan BN.

Ironinya, BN yang menanggung kesilapan percaturan sehingga mendapat kerusi terendah dalam sejarah iaitu 30 kerusi, ditohmah sebagai parti sakau, penyamun oleh PN dan PH kini bertukar menjadi King Maker (penentu kuasa) yang ditagih PN dan PH untuk gabungan bersama.

Dalam rundingan bersama BN dan pemimpin PH hari ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mengenakan warna baju sama iaitu merah, tanda sepakat.

Turut hadir Timbalan MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung PH, Datuk Saifuddin Nasution.

Pembentukan gabungan BN-PH di peringkat Persekutuan belum lagi diputuskan apabila hanya Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Majlis Tertinggi (MT) BN sahaja yang boleh membuat keputusan.

Ismail Sabri berkata, Ahmad Zahid dan biro politik tidak mempunyai hak untuk memutuskan mengenai perkara itu.

Pada Ahad, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, BN tidak pernah sama sekali berunding dengan GPS untuk penubuhan kerajaan bersama PN.

Beliau juga meminta penangguhan masa sehingga petang esok untuk menyerahkan Akuan Bersumpah (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong, selepas hasil daripada Jawatankuasa Perundingan dicapai.

Jumlah gabungan kerusi bagi kedua-dua gabungan ialah 112 kerusi. PH mempunyai 82 kerusi manakala BN 30.

Ka Siong pula menegaskan jangan membelakangi keputusan MKT UMNO dan MT BN sama ada mahu bergabung dengan PH di Perak dan Pahang.

PH memiliki 24 kerusi di Perak manakala BN pula ada sembilan, di Pahang BN (16) kerusi dan PH (8) kerusi.

Perubahan landskap ini dikatakan kerana BN mahu menyelamatkan kuasanya di Pahang dan Perak, serta kebimbangan mereka PN mungkin akan ‘menguburkan’ pemimpin BN yang dikatakan tidak bersih jika bergabung.

PN enggan memberi syarat kepada BN untuk bergabung, PH pula baru dalam frasa ‘merisik’.

Dalam semua adat perkahwinan iaitu fasa merisik bagi semua kaum Melayu, India, Cina dan pelbagai etnik lain amat penting.

Petua orang lama jika saiz cincin warisan pusaka tidak muat di jari manis bakal menantu maka petandanya tidak sesuailah jodoh itu, diteruskan hasilnya sama juga.

Dalam politik pula adat merisik penting untuk mengetahui kesan jangka panjang, jika pasangannya ada sejarah ‘tikam belakang’, ‘curang’, tidak jujur, mampukah perkahwinan itu bertahan?

Dalam mana-mana perkahwinan, komunikasi dua hala penting, kejujuran dan kesetiaan penting, toleransi penting, adakah semua ciri ini mampu dicapai dalam pembentukan kerajaan campuran nanti?

PH ditolak akar umbi UMNO, GPS dan rakyat kerana DAP memiliki rekod buruk tidak menjaga hak Melayu, Bumiputera, rasis dan campur tangan bidang kehakiman sehingga dilihat kuasa veto untuk membebaskan sesiapa mereka mahu.

PN pula ditolak kerana PAS yang dikatakan Parti Ajaran Sesat oleh Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah pengasas PAS, arwah Nik Aziz Nik Mat mengatakan solat ahli UMNO tidak diterima Allah.

Dakwaan pemimpin PAS bahawa undi UMNO masuk api neraka menambahkan kemarahan ahli sedia ada, bahkan ia juga dibantah GPS di mana Sarawak amat meraikan perbezaan agama, bangsa dan warisan masing-masing.

Semalam PN kata ada angka yang cukup untuk tubuh kerajaan, hari ini PH pula kata ada angka cukup untuk tubuh kerajaan.

Namun parti yang hendak tubuhkan kerajaan memerlukan sokongan Ahli Parlimen dari BN.

Sokongan Ahli Parlimen dari BN sudah terbahagi dua, satu kumpulan sokong PN, satu kumpulan pula sokong PH, lupa laungan ketika Perhimpunan Agung UMNO No PH, No Anwar, No DAP.

Apakah syarat yang sewajarnya ditawarkan? Sebagai parti berlogo dacing, keseimbangan perlu dicapai kerana akar umbi sudah menyuarakan akan keluar parti beramai-ramai rela dipecat sebagainya jika memilih roket.

Mungkin pembentukan kerajaan BN bersama PH tanpa DAP solusi terbaik, sesuai prinsip dacing di mana tiada ahli Kabinet daripada DAP agar kisah silam tidak berulang.

Mungkin juga pembentukan kerajaan BN bersama PN di mana PN berjanji tidak akan mengkhianati BN walau apa jua cara.

Mungkin juga BN memilih menjadi pembangkang untuk menjadi suara paling lantang paling daring di mana sejarahnya dahulu mampu tumbangkan PH dalam 22 bulan.

Hikmah di sebalik semua keputusan PRU15 kali ini adalah mungkin satu mesej dari Allah bahawa perpecahan membawa kemusnahan, perpaduan membawa kemakmuran, tiada siapa paling kuasa, yang dihina tetap penentunya.

Author

Pilihan Editor