HomeBeritaBayi lelaki ditemukan ditinggal di depan rumah penduduk

Bayi lelaki ditemukan ditinggal di depan rumah penduduk

KAJANG: Seorang bayi lelaki ditemukan ditinggalkan di hadapan rumah teres seorang penduduk di Taman Saujana Impian, Kajang pada Khamis malam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima laporan pada jam 11.39 malam pada Khamis daripada seorang pengadu mengenai penemuan itu.

Menurut beliau, pengadu menemukan bayi lelaki dalam keadaan terbaring dengan hanya memakai lampin.

“Tiada sebarang pakaian atau nota ditinggalkan bersama bayi tersebut. Pengadu kemudiannya menguruskan bayi berkenaan terlebih dahulu sebelum melaporkan tentang kejadian di Balai Polis Kajang.

“Bayi tersebut dibawa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan awal dan disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serta berada dalam keadaan sihat,” katanya.

Jelasnya, bayi yang dipercayai berusia lebih kurang dua minggu berdasarkan berat dan keadaan tali pusat itu masih ditahan pihak hospital di Wad Kanak-Kanak bagi tujuan pemantauan sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, berdasarkan kejadian, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian penemuan bayi tersebut, boleh berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mua’az Mazlan di talian 017-9788804 bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor