HomeMV+PendapatBN jadi pembangkang, prinsip atau khianat?

BN jadi pembangkang, prinsip atau khianat?

BARISAN Nasional (BN) sama ada lupa atau tidak bahawa kuasa ‘King Maker’ di tangan mereka untuk menentukan nasib dan masa depan orang Melayu, Bumiputera dijaga untuk tempoh lima tahun lagi.

Namun, BN memilih untuk kekal jadi pembangkang? Adakah benar tindakan ini atas nama prinsip atau protes terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau sebenarnya khianat kepada masa depan Melayu?

Khianat apabila memilih untuk menguburkan parti yang melindungi bangsa sekian lama, khianat apabila memilih untuk tidak menjaga kepentingan anak bangsa kerana angkuh, dendam dan kebencian yang lama.

Mereka lupa kuasa Tuhan Yang Esa mengatasi segalanya, mengetahui apa yang disembunyikan dalam dada manusia, pasti yang zalim akan terima padah jika bukan hari ini tetap akan berlaku jua.

Selama lebih 60 tahun, hak Melayu, Bumiputera masih dijaga walaupun ada ‘kecurangan’, ‘pengkhianatan’ pemimpin sendiri.

Sebenarnya kecurangan ini bukan membabitkan seorang individu malah pemimpin parti lain.

Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mengeluarkan kenyataan akan menjalankan siasatan terperinci terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana didakwa membelanjakan RM600 bilion ketika pandemik COVID-19, dua tahun lalu.

Satu jumlah yang besar jika ia benar berlalu tanpa diaudit, lebih besar daripada dakwaan kecurangan oleh Datuk Seri Najib Razak dan Ahmad Zahid.

Selepas empat hari PRU15, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) terbabit dan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dititah menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kebijaksanaan YDPA telah menangguhkan keputusan pembentukan kerajaan berikutan keengganan PN untuk bersama PH membentuk kerajaan.

YDPA menitahkan 30 Ahli Parlimen BN untuk menghadapnya esok, kemungkinan langkah sama diambil seperti tiga tahun lalu ketika YDPA mengadakan sesi temu bual peribadi bersama 222 Ahli Parlimen.

Langkah itu bertujuan mendapatkan maklum balas serta pendapat setiap anggota Dewan Rakyat mengenai situasi politik negara.

Ini juga memberi gambaran bahawa YDPA telah diberi maklumat setiap perkara secara tersirat dan tersurat sebelum keputusan dibuat kerana apa-apa tindakan kesannya pada rakyat dan negara.

Apakah jaminan untuk nasib anak bangsa dalam tempoh lima tahun dengan keadaan BN di luar dalam sebarang kuasa?

Masih ingatkah amanat ketujuh BN yang dilaungkan pada tahun 2015 di Stadium Bukit Jalil, anak kunci dan asas masa depan kita adalah kesatuan dan perpaduan Melayu perlu dijadikan komitmen yang tidak berbelah bahagi, bersatu teguh bercerai roboh.

Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar, kerana kelambu itulah tempat berlindung dari luka dan derita, jangan menang sorak kampung tergadai.

 

Author

Pilihan Editor