HomeMV+PendapatDalil kenapa Ahmad Zahid layak menjadi Perdana Menteri

Dalil kenapa Ahmad Zahid layak menjadi Perdana Menteri

SOALAN yang bermain di bibir rakyat ketika ini, siapa Perdana Menteri Malaysia ke-10 selepas kerajaan baharu berjaya dibentuk?

Jika sebelum ini kecoh orang ramai memperkatakan Perdana Menteri PM Malaysia mengikut teori RAHMAN iaitu bermula dengan Tunku Abdul Rahman sebagai PM pertama memerintah selama 13 tahun bermula dari 1957 hingga 1970.

Selepas itu pangkal A jatuh kepada Tun Abdul Razak yang dilantik sebagai PM kedua selama enam tahun bermula dari 1970 sehingga 1976.

Disusuli pangkal H iaitu Tun Hussein Onn sebagai PM ketiga dari 1976-1981, teori ini diteruskan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pangkal M sebagai PM ke empat dan paling lama dalam sejarah Malaysia iaitu selama 22 tahun.

Tun Abdullah Ahmad Badawi pula mewakili huruf A bagi nama RAHMAN ini hanya memerintah selama enam tahun bermula dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, beliau kemudiannya digantikan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mewakili huruf N yang menjadi penutup teori RAHMAN.

Selepas itu tiga PM yang dipilih oleh kerajaan campuran iaitu Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak termasuk dalam mana-mana teori, seolah teori itu wujud hanya daripada pemimpin parti Pertubuhan Kesatuan Melayu Bersatu iaitu UMNO sahaja.

Teori ini diwujudkan oleh penulis politik Ikhwan Nasir dalam tabloid Mingguan Tanah Air pada pertengahan abad 80-an, era pentadbiran Mahathir.

Namun teori ini disebut kembali selepas BN berjaya mendapat majoriti undian pada 19 November 2022, nama Ahmad Zahid yang digelar sebagai Jeneral Perang UMNO paling tepat untuk menjawat jawatan PM ke-10.

Teori RAHMAN untuk pemimpin UMNO secara terbalik iaitu NAMHAR, selepas Najib, Ahmad Zahid dan seterusnya hanya Tuhan Maha Mengetahui.

Penulis mengambil peluang ini bertanya kepada ahli perniagaan, Datuk Raden Hakim Daroji sejurus keputusan majoriti diraih oleh BN pada PRU15.

Beliau berkata, dalil yang paling kuat untuk meletakkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu di tempat paling layak menerajui Malaysia adalah kerana iltizam Ahmad Zahid yang tidak pernah mengalah dalam semua tsunami politik.

“Cucu kepada bangsawan Raden Ongko Joyo dan pejuang Tanah Melayu, Pak Sagor ini pernah diheret ke penjara ketika menentang Mahathir, diberi tekanan sama ketika beliau diminta keluar dari BN untuk selamat pendakwaan politik.

“Memegang prinsip dan janji kepada lebih 3 juta ahli UMNO, Ahmad Zahid tegar tidak tunduk dengan desakan musuh, memilih untuk ditelanjangkan depan khalayak apabila dihukum netizen sebelum mahkamah mengumumkan keputusan kesnya dibebas dan dilepaskan.

“Bersikap demokratik dengan berada di tempatnya hasil pemilihan akar umbi UMNO walaupun begitu tetap mendapat tentangan dari ahli UMNO kluster Putrajaya sendiri yang mendakwa beliau berjuang untuk dirinya bukan untuk parti atau rakyat sedangkan jika mahu wang sudah pasti beliau menerima tawaran Mahathir untuk lepaskan semua,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Tambah Hakim, pengalaman beliau sebagai Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, merangkap Presiden UMNO dan dipilih sebagai Pengerusi BN, memiliki porfolio daripada pelbagai jawatan nombor satu di beberapa kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebenarnya memberi nilai tambah kepada Ahmad Zahid untuk teraju negara.

Beliau pernah memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Agama, Menteri Pertahanan, Timbalan Perdana Menteri pada masa sama sebagai Menteri Dalam Negeri, Timbalan Menteri Pelancongan.

Selain itu, sebagai Pengerusi Bank Simpanan Nasional Berhad (BSN), Pengerusi Perumahan Negara (SPNB) jawatan penting dalam Amanah Saham Nasional (ASN), dan jawatan di empat syarikat senaraian awam (public listed company).

“Beliau juga adalah Setiausaha Politik kepada Najib, selain dari itu memenangi pemilihan jawatan Ketua Pemuda UMNO mengalahkan orang kesayangan Mahathir tetapi malangnya dikhianati oleh Mahathir apabila jawatan itu diberi kepada Hishamuddin.

“Berdasarkan rekod dan pengalamannya, isu perbankan, pelaburan, perumahan, korporat, pertahanan, pelancongan, keselamatan sudah tersemat di genggamannya, melengkapkan ciri kepimpinan masa kini.

“Tak lupa beliau juga membangunkan Yayasan Al Falah dan Akalbudi, membantu pelajar tahfiz sambung pengajian ke Universiti Al Azhar, banyak membina masjid di seluruh dunia.

“Memiliki hubungan diplomatik yang amat baik dengan dunia luar untuk menarik peluang pelaburan FDI terutamanya dari negara Arab atau Timur Tengah.

“Namun, era maklumat di hujung jari pasti tak sama dengan era Tunku Abdul Rahman, fitnah bermaharajalela, Ahmad Zahid tegar berdepan segala,” katanya.

Ahmad Zahid ketika kekalahan BN dan UMNO pada tahun 2018, beliau tegar tidak melompat parti, kukuh tidak menjadi pengkhianat walau bukti jelas kesan penentangan mengheret sahabat politiknya, Najib ke penjara.

Propaganda ‘kluster mahkamah’ dicipta oleh Mahathir kerana hanya beliau tidak diheret ke mahkamah walaupun sehingga ke hari ini ramai persoal bagaimana anak-anaknya menjadi billionaire dan fakta ini Mahathir tidak pernah nafikan.

Ahmad Zahid memberi peluang yang sama dan berlaku adil walaupun ramai mempertikaikan kenapa beliau meletakkan orang yang bisa menikamnya kembali.

Begitulah juga ketika beliau memberi sokongan menerusi surat akuan sumpah untuk melayakkan Mahiaddin dan Ismail Sabri berada di kerusi PM sebelum ini.

Beliau seperti ditawan oleh musuh dan mengharapkan Rambo perangnya datang membantu namun sebaliknya apabila Rambo bukan datang meleraikan ikatan, bahkan menikamnya pula.

Janji meletakkan semula Ismail Sabri jadi PM hanyalah untuk meredakan isu dalaman UMNO yang sedang dilanda ombak dan badai kesan perbuatan khianat kluster UMNO Putrajaya.

Hubungan Ahmad Zahid dengan PenciptaNya amat istimewa, boleh dilihat apabila keputusan mahkamah berpihak kepadanya apabila beliau dilepas dan dibebaskan dari tuduhan salah laku, juga masih hidup walaupun pernah ditikam kluster UMNO Putrajaya sendiri.

Musuh politiknya juga tidak mampu menghunus dirinya sampai tersungkur rebah, beliau masih berdiri, berlari dan bangkit untuk rakyat.

Semua dalil ini menunjukkan tiada siapa lagi yang lebih layak menjadi PM melainkan Ahmad Zahid yang memiliki ciri kepimpinan, bersikap adil untuk kawan dan lawan.

Author

Pilihan Editor