HomeBeritaDidikan tanpa kekerasan lahirkan generasi pemimpin - Nurul Fadzilah

Didikan tanpa kekerasan lahirkan generasi pemimpin – Nurul Fadzilah

GOMBAK: Pendidikan berasaskan penerapan kasih sayang dan ketegasan adalah metodologi terbaik membentuk dan memulih individu seawal peringkat kanak-kanak.

Mengambil pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya, atau anak ibarat kain putih namun bergantung kepada penjaga yang mencorakkannya sama ada baik atau buruk, jika baik, baiklah coraknya, jika buruk sebaliknya.

Peguam Sivil dan juga peguam Syarie yang juga Alumni Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah, Nurul Fadzilah Kamaluddin, tidak bersetuju jika program pemulihan individu dilaksanakan dalam bentuk penyeksaan dan kekerasan.

Ini kerana katanya, pelaksanaan seperti itu dipercayai meningkatkan lagi potensi individu untuk lebih memberontak.

“Kalau tanya saya, saya sendiri bekas pelajar di sini (Darul Kifayah), saya dibesarkan dengan cukup kasih sayang ibu, keluarga dan warga Darul Kifayah.

“Pendekatan di sini adalah kasih sayang. Kasih sayang zaman dahulu tak sama dengan sekarang, jadi perlu ada ketegasan bersama.

“Jadi, pendidikan melalui kasih sayang sebenarnya boleh membawa anak-anak ini maju ke hadapan, tak perlu guna kekerasan sebab zaman sekarang budak milenium, mereka pandai berfikir, kalau guna kekerasan mereka lagi memberontak,” katanya.

Beliau juga adalah penerima Anugerah Khas Alumni Cemerlang Kompleks Darul Kifayah pada tahun lalu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar Darul Kifayah 2022, di Kompleks Darul Kifayah, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, dan Pengetua Kompleks Darul Kifayah MAIWP, Abdul Rauf Abdul Aziz.

Sementara itu, Nurul Fadzilah yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Kompleks Darul Kifayah dan AJK Rumah Perlindungan Wanita Dar As Saadah MAIWP menceritakan semula pengalamannya membesar di kedua-dua institusi itu sehingga berjaya ke menara gading.

Katanya, beliau bukan sahaja mendapat bantuan pendidikan terbaik di Darul Kifayah tetapi terjaga keselamatan dan kebajikan.

“Saya bongsu daripada empat beradik, dan ibu saya ibu tunggal menjadi guru agama dengan pendapatan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Saya dibesarkan di Darul Kifayah di bawah seliaan MAIWP dan disediakan semua kelengkapan terbaik untuk anak asnaf, fakir dan yatim.

“Semua ditanggung, keluarga tak perlu buat sebarang bayaran kerana ditanggung oleh MAWIP, sangat seronok di sini sehingga saya berpindah di Sekolah Tahfiz Institut Al-Quran Kuala Lumpur,” kata calon Parlimen P118 Setiawangsa itu.

Justeru, jika Ketua Srikandi Muda Bersatu itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti, beliau akan mengetengahkan pendidikan dalam kalangan anak asnaf, fakir dengan memperbanyakkan kelas tuisyen khususnya untuk anak-anak di bawah Parlimen Setiawangsa dan seluruh warga Wilayah Persekutuan.

Author

Pilihan Editor