HomeSukanGrand Final KFMD 2022 beri pengalaman situasi permainan sebenar

Grand Final KFMD 2022 beri pengalaman situasi permainan sebenar

SUBANG: Grand Final Kejohanan Futsal MOTA Dalaman (KFMD) 2022 Piala Lautan Variasi yang diadakan di Sportizza Subang pada Ahad ini meriah dengan penyertaan hampir lebih 600 pemain.

Presiden dan Pengurus Besar MOTA Akademi, Taufik Yaiyah berkata acara anjuran pihaknya itu merupakan kejohanan untuk zon 1 dan zon 2.

Taufik Yaiyah.

Menurutnya, hanya yang terbaik antara zon tersebut akan layak ke Grand Final KFMD 2022.

“Pertandingan seperti ini diadakan setiap tahun, cuma kali ini lebih meriah dengan adanya penaja, Lautan Variasi. Jadi segalanya berjalan dengan lebih lancar dan kemas,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Kejohanan itu melibatkan 15 cawangan dan terdapat lima kategori iaitu; bawah 6 tahun, bawah 8 tahun, bawah 10 tahun, bawah 12 tahun, dan bawah 16 tahun.

Taufik berkata, jumlah pasukan yang ada pada hari ini ialah 57 pasukan dan boleh dianggarkan hampir lebih 600 pemain yang menyertainya.

Sementara itu, beliau turut berkongsi mengenai matlamat utama kejohanan seperti diadakan oleh pihaknya.

“Objektif utama MOTA Akademi anjurkan kejohanan seperti ini adalah untuk memberi minit permainan kepada kanak-kanak, kepada semua pemain yang berdaftar.

“Kami nak berikan mereka pendedahan dan pengalaman situasi permainan yang sebenar supaya mereka merasainya.

“Ini kerana di dalam akademi, kami yakin untuk membangunkan seorang pemain, dia perlu melalui latihan yang bagus, perlawanan persahabatan dan kejohanan seperti ini supaya banyak yang mereka boleh belajar dari sini,” jelasnya.

Di samping itu, bagi pihaknya dari sudut para jurulatih, mereka juga menggunakan kejohanan ini sebagai medium penilaian pemain akademi mereka.

Katanya, mereka dapat melihat segalanya daripada kejohanan ini sperti sejauh mana pemain sudah faham latihan mereka dan sejauh mana pemain sudah bertambah baik.

“Saya harap kejohanan ini berjalan lancar, tiada insiden-insiden yang buruk berlaku, saya juga sangat berharap kita dapat mencungkil bakat-bakat baharu di dalam MOTA Akademi.

“Seperti yang ibu bapa tahu, di MOTA Akademi kita ada dua peringkat iaitu MOTA Akademi dan MOTA FC.

“Jadi, pemain MOTA FC ini kita ambil daripada MOTA Akademi, perlawanan-perlawanan seperti ini kita buat untuk bawa mereka ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya lagi.

Pemain berkumpul untuk perasmian Grand Final KFMD 2022 Piala Lautan Variasi,
Dari kiri; Presiden dan Pengurus Besar MOTA Akademi, Taufik Yaiyah; Pengarah Urusan Lautan Variasi, Datuk Syed Nasir Hussin Syed Peer; dan COO Media Variasi, Jaiendran Bashkaram,
Gimik perasmian yang dilakukan oleh Datuk Syed Nasir Hussin Syed Peer.
Pemain yang menyertai acara teruja dengan penyertaan.
Pemain daripada MOTA Akademi Klang.

Author

Pilihan Editor