KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai satu sahaja matlamat dalam final Piala Malaysia 2022 berhadapan Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam esok, iaitu muncul juara dan sekali gus mencatat kejuaraan ‘treble’ buat julung kalinya.
Ketua Jurulatihnya, Hector Bidoglio berkata, memenangi Piala Malaysia adalah penting buat skuad Harimau Selatan biarpun sudah menjulang piala Liga Super dan Piala FA tahun ini selain meraih Piala Sumbangsih sebelum musim ini bermula.
“Perlawanan esok dijangka sukar, perlawanan akhir dan untuk sampai di sini adalah amat sukar tetapi pemain kami dalam keadaan baik, mereka sangat gembira kerana kami bermain satu lagi final.
Piala Malaysia ini adalah amat penting buat JDT… untuk memenangi empat piala dalam setahun adalah sukar, kami akan mengambil tanggungjawab penuh dan akan memberi segalanya di padang untuk memenangi piala ini,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.
Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Argentina yang membawa JDT memenangi Piala FA September lepas setelah sebulan setengah dilantik menjadi Ketua Jurulatih kelab itu mengakui kekuatan Selangor yang dibimbing bekas Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak boleh dipandang mudah.
“Banyak kelebihan di sebelah Selangor, mereka adalah pasukan yang sangat kuat, sangat kukuh dalam pertahanan dan sangat bagus dalam taktikal yang membolehkan mereka menjaring tiga gol dalam separuh akhir pertama ketika menentang Terengganu FC… jadi ia akan menjadi mencabar dan kami perlu menggunakan kelemahan mereka untuk menguatkan kami,” kata beliau.
Sementara itu, Ketua Pasukan JDT, Mohd Farizal Marlias berkata. semua rakan sepasukan sudah bersedia untuk menebus kekecewaan gagal menjuarai Piala Malaysia edisi lepas setelah kecundang di final kepada Kuala Lumpur (KL) City FC.
Penjaga gol berusia 36 tahun itu juga berharap aksi final esok berlangsung dalam keadaan cuaca baik dan tidak hujan supaya permukaan padang berada pada tahap optimum.
“(Keadaan padang) satu masalah yang tak dapat elak kerana di Malaysia padang sangat penting dan apabila hujan kedua-dua pasukan pasti tak dapat bagi satu persembahan yang diinginkan. Tapi kami perlu bersedia untuk segala keadaan dan saya harap esok tak hujan lah,” katanya.
JDT memenangi Piala Malaysia sebanyak dua kali pada 2017 dan 2019 sejak penubuhan kelab itu pada 2013, sementara kali terakhir Selangor muncul juara ialah pada musim 2015 sebelum gagal mempertahankan gelaran apabila tewas kepada Kedah di final musim berikutnya.
Rekod lima pertemuan terakhir dalam semua pertandingan berpihak JDT yang melakar tiga kemenangan dan dua seri berdepan Selangor. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu berakhir dengan keputusan 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, September lepas. – BERNAMA