HomeBeritaKe mana hala tuju autisme selepas tamat sekolah? Ini cadangan Prihatin...

Ke mana hala tuju autisme selepas tamat sekolah? Ini cadangan Prihatin…

SUNGAI BULOH: Ramai yang tidak tahu ke mana hala tuju golongan berkeperluan khas seperti autisme, sindrom down, dan hiperaktif, selepas tamat pendidikan khas persekolahan.

Masa depan golongan istimewa seperti ini seolah-olah terhenti sebaik tamat sekolah, malah tidak diberi peluang oleh masyarakat untuk bekerja atau memilih pasangan sendiri.

Isu ini tidak pernah diselesaikan sejak beratus tahun dahulu.

Sehubungan itu, Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) terpanggil untuk cuba membantu dengan mengemukakan cadangan mewujudkan pusat lanjutan kepada golongan ini selepas tamat sekolah.

Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berkata, pusat berkenaan masih dalam peringkat kertas kerja selepas tiga bulan perbincangan dengan pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Kalau kita tengok, mereka (berkeperluan khas) habis sekolah dan tak tahu hala tuju, itu tujuan kami cuba bangunkan pusat selepas alam persekolahan, mereka boleh sambung ke sini.

“Kalau tak ada aral, pusat lanjutan ini dijangka direalisasikan tahun depan.

“Pusat ini mengumpulkan semua kategori pendidikan khas termasuk autisme, masalah pendengaran, penglihatan, orang kelainan upaya (OKU),” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Prihatin sempena Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) 2022 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Buloh.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Nori Tun Abdullah, bersama ibu bapa dan pelajar pendidikan khas SK Sungai Buloh.

Pada majlis sama, Prihatin turut menyampaikan sumbangan bantuan wang tunai kepada ibu bapa pelajar serta bantuan kelengkapan pembelajaran kepada seramai 110 pelajar pendidikan khas yang terdiri daripada kategori seperti masalah pembelajaran, autisme, sindrom down dan disleksia.

Mohd Aizuddin berkata beliau turut berbesar hati dan bangga melihat usaha sekolah ini dalam membantu anak-anak istimewa atau lebih dikenali sebagai pendidikan khas mendapatkan pendidikan yang sewajarnya dengan semangat jitu guru.

“Saya dimaklumkan bahawa SK Sungai Buloh ini merupakan sekolah yang mempunyai pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang teramai di Selangor.

“Namun begitu, bantuan serta sumbangan yang diterima bagi melestarikan pembangunan PPKI di SK Sungai Buloh masih kurang dan ini amat mendukacitakan hati nurani saya.

“Selaku NGO bergiat aktif dalam memperjuangkan pendidikan di Malaysia, saya berasa terpanggil untuk menyeru syarikat korporat, agensi-agensi kerajaan dan NGO-NGO di seluruh pelusuk tanah air untuk turut serta menyumbang dalam pembangunan PPKI,” katanya.

Author

Pilihan Editor