GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dadah jenis ketamin bernilai RM160,000 yang disorok dalam tempat penguli doh dalam serbuan di sebuah syarikat penghantaran di Bayan Lepas, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Kamarul Rizal Jenal berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menahan suspek berusia 28 tahun dan menyerbu syarikat penghantaran tersebut pada 7 pagi.
“Hasil pemeriksaan, pihak polis telah menemukan dadah ketamin sebanyak 2,928 gram yang disorok dalam 11 unit penguli doh berwarna merah dan hijau di syarikat penghantaran tersebut.
“Siasatan awal mendapati semua dadah jenis ketamin bernilai RM160,000 dipercayai milik sindiket pengedaran dadah antarabangsa itu, akan dihantar ke luar negara melalui syarikat penghantaran berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah dan polis juga tidak menolak kemungkinan sindiket tersebut bukan kali pertama menyeludup ketamin ke luar negara dengan cara sedemikian.
Kamarul Rizal berkata semua ketamin yang dirampas dalam serbuan itu mampu dibekalkan kepada 4,000 orang penagih dadah.
Katanya, ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati negatif dadah dan semakan rekod juga mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang kesalahan lampau.
“Susulan penahanan lelaki itu, polis turut menyita sebuah motosikal jenis CF250 bernilai RM12,000 dan sebuah kereta jenis Proton Persona bernilai RM15,000. Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM187,000,” katanya.
Menurutnya, lelaki yang bekerja sendiri itu direman selama enam hari sehingga 10 Nov ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA