HomeBeritaMelayu perlu ubah kiblat politik kepartian demi masa depan negara

Melayu perlu ubah kiblat politik kepartian demi masa depan negara

SUDAH tiba masanya orang Melayu memperbetulkan niat dan kiblat politik masing-masing dengan meneutralkan pandangan dan ideologi kepada penyatuan sebagai tunjang kuasa kepimpinan.

Penyelidik kepentingan awam, Muhammad Zaki Omar berkata, melihat kepada situasi pertambahan banyak parti politik ketika ini, menjadikan lebih banyak ‘mazhab’ dan kiblat politik wujud, ia secara tidak langsung memecahkan kekuatan undi Melayu.

Katanya, kiblat politik berasaskan kepartian menjadikan masyarakat Melayu semakin lemah pertimbangan dalam memilih pemimpin berkualiti.

“Perjalanan politik kepartian negara telah memperlihatkan bahawa parti tidak mampu sepenuhnya menyediakan calon berkaliber.

“Individu yang dicalonkan, dipilih atas merit sumbangan kepada parti masing-masing.

Maka pengundi Melayu perlu ambil pendekatan berdiri di luar gelanggang, menilai calon dengan bebas, tanpa prejudis, meletakkan keperibadian serta akhlak calon sebagai keutamaan.

“Daya diplomasi, toleransi dan lapang dada YB-YB terpilih ketika pembentukan kerajaan pasca PRU15 amat penting demi menjamin kemerdekaan negara daripada pengaruh kuasa-kuasa besar (New World Order),” katanya MEDIA VARIASI.

Muhammad Zaki berkata, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), juga menyaksikan BN ‘rebah’, telah membuka mata betapa kuasa rakyat menentukan turun naik sesebuah kerajaan.

“Kuasa undi Melayu berpindah tangan kepada PH (Pakatan Harapan) yang juga penyumbang utama jatuhnya kerajaan BN.

“Jadi, turun naik sesebuah kerajaan terbukti amat bergantung kepada undi masyarakat Melayu seperti era reformasi 1997 dan PRU 2003.

“Percanggahan pendapat dalam kalangan Melayu tidak sewajarnya beri peluang kepada pihak yang berkepentingan untuk memecahbelahkan kesatuan rumpun Melayu yang merupakan tunjang kuasa pemerintahan Raja Berperlembagaan,” katanya.

Katanya, sistem politik pemerintahan di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong memayungi kedaulatan negara hanya boleh digugat apabila kuasa masyarakat Melayu semakin lemah dan tiada kesatuan.

“Gerakan melebarkan jurang perbezaan berdasarkan percanggahan pemikiran dan pandangan politik dalam kalangan pengundi Melayu perlu segera dihentikan.

“Ini kerana minat yang mendalam orang Melayu terhadap politik dan pemerintahan adalah tanda mereka sayang dan cintakan negara.

“Akan tetapi, ia tidak boleh dibiarkan, disalah guna untuk kepentingan individu yang mempermainkan minda orang Melayu agar makin ‘berpecah’ dan mudah ‘diperintah’,” katanya.

Justeru, katanya, pengundi Melayu perlu kembali bermuhasabah, perlu memilih berada di luar gelanggang kepartian agar tidak berada di bawah pengaruh emosi, fanatik mahupun taksub terhadap individu mahupun parti.

“Ciri-ciri Siddiq (Benar), Amanah, Tabligh (Menyampaikan Ilmu), Fathonah (Bijaksana) perlu diserap kembali agar menjadi elemen terpenting dalam proses pemilihan wakil rakyat kawasan masing-masing.

“Kuasa undi kelompok Melayu yang juga penduduk majoriti turut memainkan peranan terpenting dalam memastikan pemimpin terpilih adalah mereka yang berpandangan jauh, berdiplomasi tinggi, mampu bekerjasama, mengenepikan ego dan perbezaan yang wujud demi memastikan negara pasca PRU15 menjadi kerajaan paling stabil, kuat dan harmoni,” katanya.

Author

Pilihan Editor