KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya mengarahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi supaya bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF), Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.
Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, 63, berkata, Najib yang memegang pelbagai jawatan termasuk Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi lembaga penasihat 1MDB pada masa itu, sepatutnya boleh mengarahkan Shahrol dari segi menyediakan dokumen berhubung permohonan jaminan kerajaan (GG) kepada pegawai MOF.
Mohd Irwan berulang kali berkata pengurusan 1MDB tidak bekerjasama dalam menyediakan dokumen kepada kementerian dan beliau ada menyebut kepada bekas perdana menteri itu bahawa Shahrol Azral sombong dan sentiasa memberi alasan tetapi Najib tidak berkata apa-apa mengenainya.
Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed pada perbicaraan bekas Ahli Parlimen Pekan itu membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion daripada 1MDB.
Wan Aizuddin: Apa yang kamu harap PM lakukan? Apakah arahan yang sepatutnya dikeluarkan (kepada Shahrol)? Telefon dan suruh Shahrol untuk beri kerjasama?
Mohd Irwan: Ya. Begitu juga beliau (Shahrol) perlu menyediakan segala dokumen yang diminta oleh MOF.
Terdahulu, Mohd Irwan memberi contoh pertemuannya dengan pengurusan 1MDB apabila dana pengurusan kekayaan negara itu mengemukakan surat saranan (LOC) kepada MOF, yang kelihatan seperti GG.
“Mereka mengemukakan LOC yang bersamaan dengan GG. Apabila saya dan pegawai undang-undang saya menelitinya, kami mendapati ia seperti GG, yang perlu dibentangkan kepada Kabinet. Kami memerlukan cadangan terperinci, yang tidak disediakan oleh 1MDB.
“Kami (MOF) memberitahu mereka bahawa kami memerlukan cadangan terperinci tetapi mereka tidak mengendahkan permintaan kami. Mereka berkata mereka sudah memberi taklimat kepada PM ketika itu,” kata Mohd Irwan.
Wan Aizuddin kemudian mencadangkan bahawa Najib tidak boleh dipersalahkan atas sikap Shahrol dan pengurusan 1MDB, yang Mohd Irwan menjawab: “Saya tidak pasti betapa berkuasanya CEO 1MDB itu”.
Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 5 Disember. – BERNAMA