NEW DELHI: Kumpulan media India NDTV berkata, agensi penyiasatan tertinggi negara itu telah menyekat cadangan penjualan 20 peratus sahamnya dalam Astro Awani Network Sdn Bhd Malaysia.
Urus niaga itu ditangguhkan selepas Biro Penyiasatan Pusat (CBI) menahan kelulusannya, New Delhi Television Limited berkata dalam satu kenyataan pasaran saham pada Jumaat.
“Syarikat sedang meneliti pilihan undang-undang yang ada untuknya dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” kata syarikat itu.
Penjualan itu memerlukan kelulusan Reserve Bank of India (RBI) dan pihak berkuasa lain, kata syarikat itu yang mengendalikan saluran berita popular India NDTV.
New Delhi Television Limited dan anak syarikatnya NDTV Networks Limited menandatangani perjanjian dengan Astro Entertainment Sdn Bhd pada Januari tahun ini untuk penjualan 20 peratus kepentingannya dalam rangkaian Malaysia itu pada harga RM8.5 juta. – BERNAMA