HomeBeritaNurul Fadzilah kongsi rasa kali pertama jari dicalit dakwat

Nurul Fadzilah kongsi rasa kali pertama jari dicalit dakwat

KERAMAT: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Setiawangsa, Nurul Fadzilah Kamaluddin, 33, berkongsi pengalaman kali pertama jarinya dicalit dakwat.

Ini kerana, dua penggal Ketua Srikandi Muda Bersatu dan juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu ditugaskan sebagai Ketua Pilihan Raya di Pusat Daftar Mengundi (PDM) Parlimen Setiawangsa.

Peguam yang juga bekas pengacara tv AlHijrah itu selesai menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi Parlimen itu berkata pengalaman hari ini akan diingati selama-lamanya.

“Jangan takut untuk keluar mengundi, kerana satu undi mewakili kita, satu undi mewakili masa depan kita.

“Cuaca baik, proses pengundian pun lancar, kenangan kepada saya. rasa ‘nervous’, terima kasih kepada pengundi Setiawangsa kerana tunai tanggungjawab sebagai rakyat.

“Saya kali pertama, undi secara ‘manual’ kerana sebelum ini saya adalah petugas SPR maka saya undi pos, ini juga kenangan bagi saya kerana ada cap jari undi manual dan undi diri sendiri,” katanya kepada media.

Nurul Fadzilah tiba di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) AU3 Keramat, di sini, pada jam 12.30 tengah hari sebelum selesai mengundi pada jam 1 petang.

Beliau tiba bersama penyokongnya, turut berkesempatan beramah mesra dengan pengundi.

Dianggarkan 60 peratus warga Setiawangsa sudah keluar mengundi, mereka mula tiba di pusat pengundian di SK AU3 Keramat seawal jam 7 pagi.

Nurul Fadzilah ketika ditemui berkata, beliau yang mengundi sebagai calon ke enam di saluran enam bersyukur proses pengundian berjalan lancar.

Nurul Fadzilah membesar di Menara Jentayu AU3 dan Pulapol Setiawangsa.

Parlimen Setiawangsa pada PRU15 hari ini menyaksikan pertembungan enam penjuru iaitu calon PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, calon Pejuang, Bibi Sunita Sakandar Khan, calon Barisan Nasional, Datuk Seri Izudin Ishak, Lim Yen Tiong (Bebas), Mior Rosli Mojd Jaafar (Bebas).

Pada PRU14, sejumlah 72,136 pemilih berdaftar di Parlimen Setiawangsa mengambil bahagian dalam proses pengundian.

Kerusi Parlimen itu dimenangi penyandang daripada PKR, Nik Nazmi dengan majoriti 14,372 undi.

Beliau menewaskan calon BN, Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique yang memperoleh jumlah undi 20,099 dan calon Pas, Ubaid Abd. Akla yang meraih 6,282 jumlah undi.

Author

Pilihan Editor