HomeGlobalPelajar madrasah maut didenda berendam dalam kolam ikan

Pelajar madrasah maut didenda berendam dalam kolam ikan

RIAU: Seorang pelajar berusia 17 tahun daripada sebuah sekolah pondok atau madrasah di Tapah Darussalam, Rokan Hulu itu maut selepas dikenakan denda berendam dan menyelam di dalam sebuah kolam ikan di kawasan premis itu.

Tenaga pengajar di madrasah itu mengenakan denda terhadap mangsa selepas dia bersama tiga lagi rakannya ditangkap curi-curi keluar dari asrama.

Jurucakap polis, Mardiono berkata, kejadian itu berlaku setelah mangsa bersama rakannya keluar dari asrama untuk membeli makanan pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, mereka tidak pulang terus ke asrama, sebaliknya menyaksikan perlawanan bola sepak sehingga waktu subuh.

“Mangsa dan rakannya pulang ke asrama dan perbuatan mereka disedari seorang daripada tenaga pengajar di situ.

“Kesemua pelajar itu mengakui kesalahan mereka dan tenaga pengajar berkenaan menghukum mereka berendam dalam kolam ikan selama lima minit.

“Mereka juga diarahkan supaya menyelam di dalam kolam sebelum menyuruh mereka naik ke atas dan membilas badan,” katanya dilaporkan Kompas.com.

Namun, katanya, mangsa tidak timbul dari permukaan kolam menyebabkan tenaga pengajar itu menyuruh pelajar lain memeriksa keadaannya.

Ketika dibawa naik dari kolam, mangsa tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Author

Pilihan Editor