HomeBeritaPH buat laporan polis atas pihak main isu perkauman dan agama

PH buat laporan polis atas pihak main isu perkauman dan agama

KUALA LUMPUR: Satu laporan polis dibuat pihak Pakatan Harapan (PH) terhadap pengguna-pengguna media sosial yang memainkan isu perkauman dan agama.

Laporan polis tersebut selesai dibuat sekitar jam 11 pagi pada Sabtu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Peguam parti Amanah, Zamri Khuzaimi berkata, laporan polis itu adalah berkenaan isu tular iaitu berkenaan kebencian kaum dan agama, serta sentimen-sentimen yang dimainkan khususnya semasa berlakunya kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Zamri Khuzaimi.

“Kami telah membuat laporan polis dan meminta polis untuk mengambil tindakan yang tegas kepada mereka yang menjadikan media sosial sebagai platform untuk mengadu domba, memainkan sentimen perkauman dan agama, membuat tuduhan-tuduhan yang sangat tidak berasas dan fitnah semata semasa kempen berlangsung demi mencapai kemenangan.

“Untuk makluman, pagi ini kita membuat satu laporan polis dan meminta polis untuk menyiasat mereka ini di bawah tiga peruntukan undang-undang iaitu di bawah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan juga di bawah Akta Hasutan.

“Mudah-mudahan pihak polis segera mengambil tindakan kepada semua yang menggunakan platform media sosial itu termasuk penceramah-penceramah daripada parti PAS dan parti-parti lain,” katanya pada sidang media di luar IPD Dang Wangi.

Zamri turut menegaskan kandungan video di TikTok dan pelbagai media sosial mereka jelas menunjukan mereka memainkan sentimen yang sangat membahayakan, mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan kebencian diantara kaum dan agama di negara ini.

Turut hadir bersama dalam sidang media itu ialah Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz; AJK Biro Mobilisasi Pakatan Harapan, Mohd Sany Hamzan; dan Naib Ketua Angkatan Muda Harapan, Razak Ridzuan.

Menurut Mohd Sany, laporan polis itu dibuat ke atas 10 individu termasuklah ke atas Ketua Pemuda Pas Kawasan Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir dan dibuat secara serentak oleh PH di setiap negeri.

 

 

 

Author

Pilihan Editor