HomeBeritaPPIM sifatkan CPTPP cubaan sabotaj ekonomi rakyat

PPIM sifatkan CPTPP cubaan sabotaj ekonomi rakyat

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang efektif esok sebagai cubaan mensabotaj ekonomi tempatan negara.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan yang terkenal dengan kelantangannya memperjuangkan hak kepenggunaan, hairan kerana Ahli Parlimen (MP) tidak membangkitkan isu ini kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang ketika itu sebagai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dalam sidang Parlimen sebelum ini.

Meskipun tidak menolak impak perjanjian membuka peluang besar perniagaan tempatan ke luar negara, namun dakwanya, ia juga boleh untuk merencatkan biodiversiti ekonomi tempatan negara.

“Apabila wujud pasaran terbuka makcik jual kerepek pun ke pasaran luar negara, Amerika.

“Apa yang kita risau, ia boleh membahayakan peniaga tempatan. Ada syarikat antarabangsa datang sini, boleh berniaga sini, ada modal besar, jaringan hubungan besar, mereka boleh gunakan kekuatan mereka di peringkat antarabangsa untuk kuasai kita di sini.

“DS Azmin telah tandatangan perjanjian. Pada kita pelik, kenapa MP tidak ada membincangkan perkara ini, sebab ini penting. Kita nak bangkitkan ekonomi kita, habis kalau kita dah beri (kuasa ekonomi) kepada syarikat antarabangsa, apa cara kita nak lindungi ekonomi negara kita pula?,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Justeru, Nadzim berkata, pihaknya merayu kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menangguhkan pelaksanaan perjanjian berkenaan terlebih dahulu dan meneliti sebelum mengatur perancangan lebih baik.

“Saya merayu, harap kepada Perdana Menteri kita supaya membatal atau tangguh (perjanjian), setelah dikaji dan dilihat kembali supaya tidak mensabotaj ekonomi negara.

“Kita tak mahu keadaan ekonomi jadi lebih teruk. Jika perjanjian perdagangan ini berkuatkuasa, kerajaan pun tak boleh nak halang,” katanya.

Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar sebelum ini didesak untuk menarik balik ratifikasi CPTPP, sebelum Selasa.

Desakan itu dibuat oleh 24 pakar ekonomi, 57 badan bukan kerajaan (NGO), 10 kesatuan sekerja dan lebih 50 individu selepas mendapati perjanjian ratifikasi itu bakal memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Pada 5 Oktober lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi kenyataan memaklumkan Kabinet bersetuju meratifikasi CPTPP.

MITI berkata selaras dengan itu, kerajaan telah menyerahkan Instrumen Ratifikasi (IOR) kepada depositari CPTPP, New Zealand pada 30 September lalu.

Penyerahan IOR menyaksikan Malaysia menjadi negara kesembilan telah meratifikasikan CPTPP, perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dimeterai pada 8 Mac 2018.

Selain Malaysia, lapan lagi negara iaitu Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Peru telah meratifikasi CPTPP.

Author

Pilihan Editor