HomeBeritaPRU15: CIJ lancar portal “Say No To Hate Speech”, pantau media sosial...

PRU15: CIJ lancar portal “Say No To Hate Speech”, pantau media sosial ahli politik

PETALING JAYA: Centre for Independent Journalism (CIJ) melancarkan projek portal “Say No To Hate Speech” bagi memantau ucapan yang membawa unsur kebencian dan penyebaran maklumat palsu di sosial media menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Eksekutifnya, Wathshlah Naidu berkata, pihaknya menjangkakan penyebaran berita palsu dan ucapan yang mendatangkan kebencian untuk mempengaruhi orang awam bagi memenuhi kepentingan tertentu akan berleluasa menjelang PRU15.

“Ahli politik dan beberapa tokoh individu selalu menggunakan ekspresi dan retorik untuk mengapi-apikan untuk mengawal naratif dan mempengaruhi pandangan awam berkaitan isu-isu seperti agama, bangsa, kerabat diraja dan gender.

“Mereka berbuat demikian untuk memenuhi kepentingan politik masing-masing dan bukannya untuk memberdayakan demokrasi.

“Jadi, kami melancarkan projek ini bagi memantau tahap kritikal ucapan yang berunsurkan kebencian ketika PRU15 yang akan tiba dan mengajak orang ramai menyalurkan respons dengan lebih efektif apabila berhadapan ucapan kebencian ini kepada kami,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), di sini, hari ini.

Kata Wathshlah, sebanyak 96 akaun media sosial akan dipantau di empat platform merangkumni Facebook, Twitter, Youtube dan TikTok yang dikendalikan oleh ahli-ahli politik dan parti politik.

“Pemantauan ini termasuklah akaun di media sosial melibatkan pemimpin utama mereka seperti Perdana Menteri sementara (CareTaker), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta parti-parti politik iaitu UMNO, PKR, MUDA dan DAP.

“Kami juga akan memantau akaun sosial yang dimiliki oleh media-media utama dalam negara dan tokoh-tokoh berpengaruh dalam masyarakat khususnya dalam bidang agama,” jelasnya lagi.

Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat sekiranya mendapati terdapat ucapan yang mempunyai unsur mendatangkan kebencian boleh melayari https://cijmalaysia.net/election-monitoring/about/.

Author

Pilihan Editor