HomeBeritaPRU15: Tok Mat calon BN di Rembau, KJ pindah ke Sungai Buloh

PRU15: Tok Mat calon BN di Rembau, KJ pindah ke Sungai Buloh

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan akan bertanding di Parlimen Rembau mewakili Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sementara itu, penyandangnya, Khairy Jamaluddin pula diletakkan sebagai calon BN di Parlimen Sungai Buloh setelah kerusi Parlimen Rembau yang disandangnya diserahkan kepada Mohamad Hasan.

Pengumuman mengenai kawasan yang ditandingi kedua-dua tokoh UMNO itu dibuat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen Barisan Nasional di Dewan Tun Husein Onn, World Trade Centre, Kuala Lumpur, pada malam ini.

Khairy yang sudah menjadi ahli Parlimen di kerusi itu sejak tahun 2008 selama tiga penggal dilaporkan akan menyerahkan kerusi di Parlimen Rembau untuk memberi laluan kepada Mohamad Hasan bertanding dalam PRU15 pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di Seremban pada Oktober lalu.

Mengikut laporan, Mohamad menyatakan Khairy akan diberikan kerusi yang selamat dan menjamin kemenangan setelah memberi laluan kepada beliau untuk bertanding di Rembau.

Berdasarkan pengumuman ini, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau akan berhadapan calon PKR yang mempertaruhkan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Julfitri Johar.

Untuk rekod, Khairy Jamaluddin memenangi kerusi Parlimen itu pada PRU14 dengan menewaskan pencabarnya daripada Pas dan PKR dalam saingan tiga penjuru dengan memperoleh 36,096 undi.

Kawasan Sungai Buloh yang akan ditandingi Khairy pula merupakan kerusi campuran yang disandang oleh Sivarasa dari PKR selama tiga penggal berturut-berturut.

Pada PRU14 lalu, Sivarasa meraih 43,631 undi menewaskan Nuridah dari PAS yang memperoleh 16,977 undi, A.Prakash Rao mewakili BN (16,681) dan Zainurizzaman Moharam dari PSM (642).

Walaubagaimanapun, lawan yang bakal menanti Khairy di Sungai Buloh adalah Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Datuk R.Ramanan yang menggantikan Sivarasa sebagai calon bagi mewakili parti itu di Sungai Buloh di PRU15 nanti.

Author

Pilihan Editor