GONG telah wujud lama dahulu sebelum Masihi lagi, dan mula terkenal ketika era Kerajaan Langkasuka di Tanah Sunda apabila ia digunakan meluas.
Mengikut rekod, gong ditemui sejak 600 SM atau lebih awal sehingga abad ke-3 dan merupakan hasil kerja tembaga dan budaya yang terbaik.
Gong di Tanah Melayu dikenali kerana ia mengiringi permainan wayang kulit, menjadi tulang belakang dalam persembahan muzik gamelan dan pelengkap adat perkahwinan temasuk di Borneo.
Penyelidik di Galeri Melayu Tanah Sunda, Abdul Hadi Mohd Ali berkata, ramai yang tidak tahu, gong bukan sahaja instrumen atau alat muzik biasa tetapi digunakan sebagai alat pemanggil, pemancar komunikasi, jaringan frekuensi atau ibarat teknologi 5G ketika era ini.
Beliau yang bertugas di Muzium Tekstil berkata, paluan gong yang diperbuat daripada tembaga memberi hasil yang berbeza kerana mengikut kepercayaan orang dahulu kala, tembaga digeruni oleh anasir jahat dan ‘berpuaka’.
Katanya, gong digunakan untuk mengumumkan sesuatu, mengisytihar perang dan lain-lain rahsia yang terdapat di dalamnya.
“Setiap perkara ada kiraannya, tanpa kiraan kita tidak dapat hasil yang tepat dan terbaik begitu juga jumlah paluan gong, ia memiliki makna tertentu.
“Dua kali gong di palu tidak sama dengan tiga kali, empat kali dan sebagainya.
“Jika dua kali paluan bererti ancaman, empat kali keadaan selamat, lima kali bencana, tujuh kali ada watikah-watikah yang nak disampaikan, sembilan kali kematian dan kelahiran dan penjelmaan semula, 11 kali upacara bertabalan.
“Jadi tidak hairanlah setiap rumah Melayu lama pasti ada gong,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Hasil pengumpulan maklumat dan sejarah lisan sejak dua dekad lalu, Abdul Hadi berkata, bukan semua orang boleh memalu gong, jika bukan ‘hak’ memang akan menerima ketulahan.
“Tukang palu gong itu dikatakan akan ‘bersatu’ dengan gong berkenaan.
“Ada beberapa irama atau kod itu yang berbeza. Zaman dahulu, untuk lerai pergaduhan, tukang pendamai akan palu gong berkenaan untuk hentikan sengketa.
“Raja Melayu pertama di Semenanjung Tanah Melayu yang menggunakan gong ialah Cik Siti Wan Kembang, namanya Gong Seri Kayangan.
“Pertama kali digunakannya ketika berperang dan kemudian barulah diikuti oleh Raja-raja lain.
“Salah satu penemuan adalah Gong Dong Prabu Sari Dewa Raja berasal daripada istana Terengganu dahulu yang kini berumur kira-kira 500 tahun, ” katanya.
Tambah Abdul Hadi, Sultan Terengganu ketika itu, Sultan Ismail menggunakan Gong Dong Prabu Sari Dewa Raja ini untuk membuat pengumuman dan juga ketika melancarkan perang.
“Malangnya selepas masa berlalu istana Sultan Ismail kena bakar dalam satu peperangan tetapi salah seorang bangsawan istana sempat melarikan gong tu.
“Dan bermulalah sejarahnya gong itu berpindah dari satu tangan ke satu tangan dari satu generasi ke generasi hinggalah sampai kini, ia tetap kembali kepada anak cucu jua, ” katanya.
Seperti yang telah dijelaskan diatas, fungsi tugas dan penggunaan gong ini bergantung pada paluan dan irama bunyinya.
Ketika berperang, gong dibawa diatas gajah dan dipalu sepanjang masa untuk memberi kekuatan kepada tentera-tentera perang agar mereka tahu mereka tidak berseorangan.
Berbeza ketika era hari ini, Melayu hanya menyimpannya di dalam rumah atau sebagai perhiasan tanpa mengetahui fungsinya yang sebenar.
Dengan terlalu banyak fungsinya, maka tidak hairanlah ia wujud di mana-mana sahaja di seluruh dunia, namun warisan ini mula dilupai generasi hari ini dan tidak mustahil akan pupus jika tiada usaha menghidupkannya semula.