HomeBeritaSany beri amaran kepada PM, ambil tindakan terhadap pelampau agama

Sany beri amaran kepada PM, ambil tindakan terhadap pelampau agama

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan memberi amaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya segera mengambil tindakan ke atas pelampau-pelampau agama.

Beliau yang juga Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Biro Mobilisasi Pakatan Harapan (PH) dan Pengarah Biro Mobilisasi Amanah berkata demikian selepas pihak PH selesai membuat laporan polis sekitar jam 11 pagi pada Sabtu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Laporan polis tersebut adalah berhubung isu perkauman dan agama yang dimainkan di media sosial sepanjang waktu berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Sany membangkitkan berkenaan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan pihak PAS dan beberapa parti lain ke atas PH yang menurutnya adalah fitnah semata.

“Yang buat fitnah ini daripada parti PAS, dia jadi kerajaan semasa PN memerintah, kemudian apabila Ismail Sabri menjadi perdana menteri pun dia jadi kerajaan.

“Yang jadi masalahnya kenapa kamu tak siasat kami PH, kamu tuduh kami macam-macam, kamu tuduh LGBT lah, kamu tuduh komunis lah, kamu tuduh kami nak mengkristiankan negara ini, kamu tuduh kami nak buang raja, kamu tuduh kami nak buang Islam, kamu tuduh kami nak buang bahasa Melayu,” ujarnya.

Beliau turut menyebut berkenaan kenyataan mereka iaitu rakyat Malaysia yang mengundi untuk PH pada PRU15 akan masuk neraka termasuklah kenyataan mahu membunuh orang kafir harbi.

Beliau mempersoalkan politik jenis apakah ini yang cuba digunakan sepanjang PRU15.

“Kita sudah 65 tahun merdeka, sepatutnya politik kita ini politik matang, sejahtera, akademik dan berintegriti, fakta lawan fakta. Bukan fakta lawan dengan auta, penipuan, pembohongan, dengan adu domba, ini penunggang-penunggang agama, pelampau-pelampau agama.

“Sebab itu saya nak minta khususnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, negara kita berada dalam keadaan yang sangat bahaya kerana doktrin agama sekarang ini dimainkan pelampau-pelampau agama dalam PRU15,” tegasnya.

Kata Sany, Anwar jangan terlalu seronok apabila sudah menjadi perdana menteri kerana isu seperti ini perlu diambil tidakan serius dan segera.

“Sebab itu kita nak bagi amaran kepada perdana menteri, jangan seronok sangat, kena ambil tindakan, sebab isu ini boleh menghancurkan negara yang kita cintai ini.

“Kita tak boleh benarkan pelampau-pelampau agama bermaharajalela memesong pemikiran rakyat khususnya anak muda yang ada dalam negara kita,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor