HomeBerita'Superman Hew' ditahan polis Pahang

‘Superman Hew’ ditahan polis Pahang

CYBERJAYA: Polis Pahang menahan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau bagi membantu siasatan berhubung ucapannya yang berbaur perkauman dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) pada musim kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata, Kuan Yau, 53, ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Pahang di kediamannya di Puchong Jaya, Selangor dengan bantuan pasukan JSJ Bukit Aman, pada Rabu.

“Pada 17 November lalu, polis Pahang menjalankan siasatan penularan video ceramah sebuah parti politik di Raub Perdana, Raub, Pahang.

“Pada ceramah itu, seorang penceramah bernama Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai ‘Superman Hew’ berucap dalam bahasa Kantonis yang didapati mempunyai unsur-unsur yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Sebahagian daripada rakaman video ceramah berkenaan kemudian ditularkan di media massa serta media sosial dan mendapat reaksi yang negatif dari kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Kuan Yau kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan permohonan reman ke atasnya akan dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi pihak polis mendapatkan keterangan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 iaitu kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi,” katanya.

Malahan, Kuan Yau turut disiasat mengikut seksyen yang sama bagi ucapannya di dalam satu program ceramah politik di Taman Pandan Mawar, Melaka pada 18 November lalu.

Terdahulu, tular video ucapan Kuan Yau di media sosial memaparkan dia mengeluarkan kata-kata kesat serta berbaur perkauman ketika berucap pada ceramah PRU15.

Author

Pilihan Editor