HomeNiagaTony Fernandes letak jawatan CEO kumpulan AirAsia X

Tony Fernandes letak jawatan CEO kumpulan AirAsia X

SEPANG: AirAsia mengumumkan Tan Sri Tony Fernandes telah meletak jawatan sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia X Bhd (AAX), dalam satu kenyataan semalam.

Menurut AirAsia, Tony yang dilantik jawatan itu pada Julai lalu dan juga merupakan Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas AAX, akan beralih daripada jawatannya di AAX bagi memastikan peralihan yang lancar terhadap kepimpinan syarikat.

Sementara itu, Tunku Datuk Mahmood Fawzy pula dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Thai AirAsia X (TAAX) yang akan menumpukan perhatiannya kepada penyeliaan hala tuju strategik serta memacu pertumbuhan mampan bagi kumpulan syarikat penerbangan jarak sederhana, AAX dan TAAX.

Mahmood dalam kenyataan sama menzahirkan rasa berbesar hatinya menyertai ahli lembaga pengarah TAAX dalam fasa baharu pertumbuhan mereka sebagai sebuah syarikat penerbangan jarak sederhana.

Menurutnya, strategi mereka adalah untuk memberi tumpuan kepada penerbangan laluan jarak sederhana paling popular dan menguntungkan terlebih dahulu yang telah terbukti berjaya, termasuk memanfaatkan operasi kargo dalam pasaran utama.

“Kumpulan AAX kini kembali terbang tinggi berikutan permintaan terhadap perjalanan jarak sederhana berpatutan di seluruh Asia dan Asia Pasifik.

“Kebangkitan semula AAX dan TAAX sebagai sebuah syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka dalam kategori jarak sederhana ini tidak mungkin akan terjadi tanpa kepimpinan dan sokongan cemerlang daripada Tan Sri Tony sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.

“Hanya dalam tempoh singkat iaitu enam bulan, AAX telah berjaya meningkatkan aliran tunainya sebanyak lebih 100% berbanding ketika ia mula kembali beroperasi pada bulan April, dengan rancangan yang lebih kukuh pada masa hadapan,” kata Mahmood.

Tambahnya, bagi memenuhi permintaan pengguna, Kumpulan AAX telah menambah sejumlah perkhidmatan baharu untuk AirAsia X Malaysia (D7) dan Thai AirAsia X (XJ) dan banyak lagi laluan pada masa akan datang.

Tony dalam kenyataan sama menjelaskan beliau sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, mempunyai mandat yang jelas untuk menyambung semula perkhidmatan AirAsia X daripada hibernasi.

Katanya, beliau berbesar hati kerana telah mencapai matlamat itu dengan rancangan untuk mengendalikan 20 pesawat untuk Kumpulan AAX, 13 pesawat untuk AAX dan tujuh pesawa untuk TAAX.

“Kami telah menambah baik struktur kos dan membina perniagaan kargo yang telah menyumbang kira-kira 20 peratus kepada pendapatan syarikat penerbangan semasa pandemik. Ia juga akan terus memainkan peranan penting dalam pemulihan AAX.

“Saya yakin AAX akan kembali lebih kukuh dengan menyediakan perjalanan jarak sederhana yang bernilai hebat, diketuai oleh pasukan kepimpinan utama di Malaysia dan Thailand.

“Saya kini akan memberi tumpuan untuk menambah baik nilai kepada pemegang saham Capital A, termasuk AirAsia Aviation Group, perkhidmatan penerbangan, logistik, perjalanan, teknologi kewangan dan platform gaya hidup e-dagang,” ujar Tony lagi.

Author

Pilihan Editor