CYBERJAYA: Kerajaan bersetuju untuk meminda tujuh akta berkaitan pelaksanaan cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Parlimen), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurutnya, perkara itu telah diteliti Kabinet menerusi mesyuarat yang dijalankan hari ini bagi membincangkan semula cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.
Tambah Ahli Parlimen Pengerang itu, tujuh akta tersebut ialah: RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022; RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022; RUU Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022; RUU Penculikan (Pindaan) 2022; RUU Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022; RUU Senjata (Pindaan) 2022; dan RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022.
Katanya lagi, Jabatan Peguam Negara telah meneliti dasar pelaksanaan cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori yang melibatkan 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori sebagaimana peruntukan Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api Lebih Berat 1971
Selain itu, turut diteliti ialah 23 kesalahan yang membawa hukuman mati tertakluk budi bicara Mahkamah di bawah Kanun Keseksaan, Akta Senjata 1960, Akta Senjata Api Lebih Berat 1971 dan Akta Penculikan 1961.
“Penangguhan pelaksanaan hukuman mati (Moratorium) masih dikekalkan bagi pesalah hukuman mati sehingga semua pindaan RUU tersebut dilaksanakan.
“Pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori ini dijangka akan memberi kesan langsung kepada seramai 1,327 orang banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah.
“Manakala bagi lain-lain individu yang belum dituduh, hukuman gantian terhadap hukuman mati boleh dikuatkuasakan secara prospektif,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pada masa sama, Azalina menyatakan pindaan undang-undang yang berkaitan tidak memansuhkan hukuman mati sepenuhnya, tetapi memberi budi bicara kepada mahkamah untuk memutuskan hukuman yang setimpal berdasarkan fakta kes.
Jelasnya, pelaksanaan cadangan hukuman gantian itu merupakan komitmen Kerajaan untuk memastikan pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori diteliti secara mendalam dan terperinci dari semua aspek.
“Rang Undang-Undang berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori ini dijangka dibentangkan di sidang Parlimen pada Februari 2023. Sistem keadilan jenayah adalah asas utama bagi masyarakat yang selamat dan aman.
“Oleh itu, Kerajaan juga akan mempertimbangkan kajian susulan Fasa 2 yang melibatkan pembaharuan sistem keadilan jenayah seperti dasar penghukuman (sentencing policy) yang lebih berkesan, hukuman sebatan dan pembaharuan sistem penjara yang merangkumi langkah-langkah untuk mengurangkan kesesakan penjara,” maklumnya.