HomeBeritaAyob Khan paling layak jadi Ketua Polis Negara

Ayob Khan paling layak jadi Ketua Polis Negara

PUTRAJAYA: Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay individu paling layak menerajui jawatan Ketua Polis Negara (KPN) berdasarkan individu mempunyai integriti dan kepercayaan rakyat.

Pendakwah bebas, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali berkata, jika Ayob Khan diangkat untuk menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM), ia langkah yang betul dan keputusan popular.

Justeru, beliau menyarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik individu yang berintegriti mengetuai badan tersebut, dalam usaha memulihkan kepercayaan rakyat terhadap agensi penguat kuasa seperti pasukan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ini adalah keputusan popular dalam kalangan rakyat dan Raja seterusnya dapat mengembalikan kepercayaan rakyat kepada PDRM,

“Menjadi rahsia umum bahawa terdapat pegawai dalam pasukan polis yang masih sangat dipercayai oleh rakyat dan di kalangan raja-raja Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pertemuan antara agamawan dengan Anwar di kediaman rasmi perdana menteri, di Kompleks Seri Perdana, petang semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay dicadangkan oleh Engku Ahmad Fadzil supaya dilantik sebagai KPN seterusnya.

Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu turut mengingatkan Anwar tentang insiden mata lebam pada 1998 apabila presiden PKR itu menjadi “mangsa” kekejaman polis.

“Kecederaan itu dilakukan oleh ketua polis negara pada masa itu.

“Kepercayaan rakyat terhadap integriti institusi telah goyah,” katanya.

Tempoh kontrak Acryl Sani Abdullah Sani sebagai IGP akan berakhir pada 3 Oktober tahun depan.

Acryl Sani sepatutnya bersara wajib pada Oktober 2021 tetapi perkhidmatannya sebagai pegawai tinggi polis dilanjutkan selama dua tahun secara kontrak.

Sementara itu, Engku Ahmad Fadzil turut menyarankan agar Anwar meletakkan institusi Diraja pada kedudukan penting.

Author

Pilihan Editor