HomeGaya HidupBudak perempuan dalam pasukan bola sepak lelaki curi tumpuan

Budak perempuan dalam pasukan bola sepak lelaki curi tumpuan

BANGI: Jika tokoh legenda, Cik Siti Wan Kembang dan Tun Fatimah masuk ke medan tempur yang dipenuhi lelaki, kini kanak-kanak cilik perempuan juga sudah berani menguji keupayaan diri menyertai bola sepak dalam pasukan lelaki.

Pasukan bola sepak Tunas Sejati menambat perhatian Kerajaan Negeri Selangor apabila Sufiya Eryana Shuhairy (sayap kanan), Insyirah Sofea Shuhairy (penjaga gol) dan Azzahra Azhar (penyerang) menyertai Kejohanan Piala Budak Kampung daerah Hulu Langat, di pusat sukan Arena Owl Trafford di sini.

Pemain kanak-kanak perempuan Sufiya Eryana Shuhairy bersama pasukan bola sepak lelaki

EXCO Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, ia satu bentuk trend baharu lebih-lebih lagi apabila kejohanan berkenaan menyediakan ruang terbuka kepada semua peringkat belia.

Ini berikutan, kejohanan berkenaan diadakan untuk menghapuskan stigma bahawa bukan golongan profesional sahaja tetapi mereka yang tidak mempunyai sebarang kelengkapan tanpa jersi, kasut sukan dan pelatih, juga layak.

Justeru, beliau tertarik dengan pasukan berkenaan, kerana jarang menemui pemain wanita bermain sukan yang cukup sinonim dengan lelaki.

“Apa yang menarik perhatian saya tadi, ada budak perempuan bermain (bola sepak) dalam pasukan lelaki dan ia sangat jarang berlaku.

“Dia bermain di posisi sayap kanan, biasanya satu pasukan wanita dan satu pasukan lelaki bermain bola sepak, tetapi ini ada perempuan dalam pasukan lelaki,” katanya kepada MEDIA VARIASI, di sini.

Insyirah Sofia Shuhairy

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu berkata, ia perkara menarik jika ada acara sukan yang membabitkan pemain tanpa halangan gender dalam kalangan belia seperti itu diteruskan.

“Ia sesuatu yang baharu pada generasi baharu, kerajaan akan menyokong usaha ini secara berterusan” katanya.

Terdahulu beliau mendekati pemain belia dan beramah mesra di program kejohanan dua hari bermula 17 Disember anjuran kerajaan negeri Selangor.

Sebanyak 200 pasukan menyertai kejohanan masing-masing 100 pasukan bola sepak, 60 pasukan bola takraw dan 40 pasukan bola jaring seluruh daerah Hulu Langat termasuk dari Sabak Bernam dan Meru merebut hadiah terkumpul sebanyak RM14,850.

Tiga kategori dipertandingkan iaitu bola sepak 12, 14 dan 17 tahun, manakala sepak takraw bawah 15 dan 18 tahun, serta bola jaring terbuka tiga lawan tiga.

Author

Pilihan Editor