HomeBeritaCalon Ketua Pembangkang PN seorang yang berwibawa - Wan Fayhsal

Calon Ketua Pembangkang PN seorang yang berwibawa – Wan Fayhsal

KUALA LUMPUR: Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menjamin bahawa calon Ketua Pembangkang merupakan seorang yang berwibawa.

Ketika ditanya pihak media mengenai calon Ketua Pembangkang, Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional itu berkata, calonnya daripada pihak PN sudah ada dan akan diumumkan nanti.

“Itu tunggu pengumuman daripada parti kami, sudah ada, orangnya pun insya-Allah berwibawa dan mendapat persetujuan semua parti komponen PN.

“Saya yakin Ketua Pembangkang ini adalah Ketua Pembangkang yang mampu menawarkan semak dan imbang yang baik kepada kerajaan hari ini,” katanya pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Rabu.

Beliau ketika ditemui pihak media baru sahaja selesai membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan Anwar bahawa dana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) PN adalah daripada syarikat judi.

Ahli Parlimen Machang itu juga mengingatkan Anwar untuk bertanya terus Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz mengenai isu RM600 bilion yang didakwa diseleweng semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

Katanya hal ini kerana Zafrul merupakan Menteri Kewangan semasa pentadbiran kerajaan di bawah Muhyiddin.

“Jika dia ingin tahu kebenaran perkara itu, dia boleh tanya menterinya, Tengku Zafrul, dia sebahagian daripada Kabinet, dia bertanggungjawab sepanjang tempoh pakej itu sedang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Jadi kenapa? Datuk Seri Anwar Ibrahim, anda tahu dia cuba bermain persepsi kepada orang ramai, cuba memburukkan imej kami, bermain politik pada minggu pertama beliau memegang Kabinet, apakah kerajaan jenis ini yang anda harapkan daripada PH?” katanya lagi.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal turut menambah bahawa PN tidak akan mengeluarkan senarai daripada mana mereka menerima dana berjumlah RM600 bilion itu.

“Tetapi kita terbuka kalau di dalam Parlimen nanti untuk membahaskan akta berkenaan pendanaan politik, jadi kalau itu adalah perkara utama, silakan.

“Saya sebagai Ahli Parlimen menyahut usaha ini yang sepatutnya diselesaikan semasa zaman Datuk Seri Ismail Sabri, tetapi kita bubar Parlimen jadi tak sempat nak laksanakan perkara itu.

“Tetapi tidak apa, kita tunggulah sesi Parlimen selanjutnya tentang hal ini,” ujar beliau.

Author

Pilihan Editor