HomeBeritaCPTPP hanya menyamar, agenda sebenar lebihkan import dari eksport

CPTPP hanya menyamar, agenda sebenar lebihkan import dari eksport

KUALA LUMPUR: Pada 6 Oktober lalu, bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan Perjanjian Progresif dan Komprehensif Perkongsian Trans Pasifik (CPTPP) bagi Malaysia akan berkuat kuasa pada 29 November lalu.

Beliau dilapor berkata, Malaysia telah meratifikasi CPTPP berikutan penyerahan surat cara ratifikasi oleh kerajaan untuk perjanjian itu kepada New Zealand, depositari CPTPP, pada 30 September 2022.

Pemimpin Bersatu itu berkata, ratifikasi CPTPP bagi Malaysia dianggap selesai dan Malaysia merupakan negara kesembilan yang meratifikasi perjanjian itu.

Perkara itu mengejutkan semua pihak dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan ratifikasi CPTPP yang dianggotai Malaysia adalah satu bentuk penyamaran.

Ketua Aktivitisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana dalam perjanjian antarabangsa itu terdapat beberapa pengecualian dan perlindungan untuk kedaulatan negara.

“CPTPP hanya menyamar sebagai perjanjian perdagangan bebas dan hakikatnya ia bukan kerana untuk mempertingkatkan jumlah eksport kerana mengikut Kajian Analisis Kos Faedah (CBA), hasilnya terlalu ciput dan tidak signifikan.

“Ia akan mengurangkan lebihan perdagangan kerana import akan melebihi eksport.

“CPTPP adalah beban tinggalan tiga pentadbiran terdahulu kini terpaksa diwarisi oleh
kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru sahaja dibentuk.

“PPIM sedar bahawa Perdana Menteri berada dalam situasi yang sukar, apatah lagi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah mempersoalkan kewajaran Malaysia menyertai CPTPP ketika bergelar pembangkang sebelum ini.

“Sebagai ketua kerajaan, kemaslahatan terhadap 35 juta warganegara haruslah menjadi keutamaan seorang Perdana Menteri berbanding manfaat kepada kumpulan tertentu sahaja,” katanya pada sidang media bertajuk PPIM mahu Malaysia keluar dari CPTPP.

Turut hadir beberapa pemimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Nadzim menegaskan CPTPP adalah berganda lebih bahaya daripada Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana kemungkinan besar perjanjian itu boleh menjejas kemampuan Raja-Raja memelihara beberapa pekara penting yang termaktub dalam Perlembagaan Persukutuan.

Ujar beliau, pada masa sama, terdapat juga pihak-pihak yang kami anggap tidak patriotik beriya-iya mempromosi CPTPP melalui kempen menggunakan helah ‘half-truth’ walhal mereka sepatutnya lebih menjawab secara objektif.

Ia bagi merungkai segala kemusykilan dan kebimbangan besar rakyat khususnya dari segi peningkatan kebajikan rakyat- ang kerap dibangkitkan.

“Mereka wajar akui CBA adalah flawed kerana hanya menilai sudut eksport dan pelaburan secara langsung semata-mata yang mengenepikan sama sekali penilaian kerugian pada rakyat dan negara.

“Pembohongan kempen ini sudah tentu akan dipecah tembelang di Parlimen tapi pembahasan itu tidak berlaku sebelum ratifikasi kerana ia dimaklum pada Parlimen hanya tiga hari sebelum dibubar,” katanya.

Author

Pilihan Editor