HomeBeritaCybersecurity, JPDP diminta siasat dakwaan 13 juta data rakyat Malaysia bocor

Cybersecurity, JPDP diminta siasat dakwaan 13 juta data rakyat Malaysia bocor

 

CYBERJAYA: Cybersecurity Malaysia (CSM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) diminta menjalankan siasatan berhubung dakwaan kebocoran data maklumat membabitkan 13 juta rakyat Malaysia yang tersebar di media sosial.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kebocoran data berkenaan merupakan satu hal yang serius kerana melibatkan jumlah data yang banyak.

“Saya akan minta CyberSecurity Malaysia, Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia siasat apakah benar berlaku kebocoran data melibatkan pihak-pihak berkenaan, serta mengambil tindakan berdasarkan undang-undang,” tulisnya di Facebook pada Jumaat.

Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook memaparkan dakwaan 13 juta data maklumat pengguna dari Maybank, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Astro bocor.

Dalam hantaran itu, didakwa berlakunya kebocoran maklumat peribadi rakyat Malaysia seperti username, tarikh lahir, alamat serta nombor kad pengenalan.

“Mengikut posting forum tersebut pada 25 Disember, 2022 jam 07:56 malam, dikatakan 3.5 juta maklumat Astro bocor, 1.8 juta maklumat MAYBANK bocor,7.2 juta maklumat SPR bocor.

“Saya sengaja tidak hide atau padamkan maklumat yang ada pada screenshot ni sebab maklumat ini telah tersebar luas. Sekiranya maklumat ini sahih maka saya mohon pemilik setiap maklumat ni tampilkan diri. Kita kena ramai-ramai buat sesuatu. Berapa banyak kali kita nak kena hadap dengan isu kebocoran data ni?

Hantaran yang dimuat naik oleh sebuah akaun dikenali ‘Pendakwah Teknologi’ itu turut berharap pihak kementerian dapat menangani isu tersebut jika ia benar-benar berlaku.

“Sekiranya maklumat ini sahih maka saya mohon pemilik setiap maklumat ni tampilkan diri. Kita kena ramai-ramai buat sesuatu. Berapa banyak kali kita nak kena hadap dengan isu kebocoran data ni?

“YB Fahmi Fadzil, ini adalah satu masalah yang lebih besar dari iklan scam di Facebook. Masalah data breach ini melibatkan keselamatan rakyat Malaysia. Sekiranya data breach ini benar-benar terjadi maka maklumat inilah yang bakal digunakan oleh orang jahat untuk nak scam rakyat Malaysia.

“Mohon bantuan pihak kementerian siasat maklumat ini,” tulisnya.

Author

Pilihan Editor