KUALA LUMPUR: Sebanyak 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula 7 pagi tadi berikutan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam hantaran menerusi Facebook rasminya hari ini memaklumkan lokasi yang terlibat ialah 172 kawasan di sekitar Petaling, 54 kawasan di Hulu Langat, 196 di Sepang, 23 di Putrajaya dan 27 di Kuala Langat.
Menurut Air Selangor, pemberhentian tugas itu adalah ekoran insiden pencemaran bau yang dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir di kedua-dua LRA berkenaan.
“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa,” menurut kenyataan itu.
Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor melalui talian 15300 untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Pengguna juga boleh mengajukan pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre Air Selangor yang boleh dicapai melalui laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – BERNAMA