HomeBeritaHamzah berdepan tanggungjawab besar jadi Ketua Pembangkang efektif

Hamzah berdepan tanggungjawab besar jadi Ketua Pembangkang efektif

CYBERJAYA: Pelantikan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang mewakili Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat adalah sesuatu di luar jangkaan ramai.

Ini kerana umumnya orang ramai termasuk penganalisis menjangkakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man akan menggalas jawatan itu.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata kepada MEDIA VARIASI, apa-apa pun umum tidak tahu apa yang dibincangkan di sebalik tabir PN sehinggakan Hamzah diangkat sebagai ketua pembangkang.

Mujibu Abd Muis.

 

Menurut, Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, bagaimanapun beliau melihat pelantikan itu sebagai satu lumrah yang biasa dan merasakan Hamzah memegang tanggungjawab yang penting.

“Saya rasa yang paling penting dilihat bagaimana untuk menginstitusikan jawatan itu supaya benar-benar efektif dan corak kepimpinan di Parlimen itu menjadi lebih baik, berkualiti dan fokus kepada isu-isu yang sepatutnya.

“Tidak menjadi ketua pembangkang yang terlampau retorikal dan populis, itu yang kita tidak mahu. Jadi, bila kita bercakap tentang politik baharu ini, salah satu perkara yang perlu kita perhatikan juga dalam konteks reformasi institusi itu mungkin jawatan ketua pembangkang.

“Kita harus memperkasakan bukan sahaja jawatan ketua pembangkang tetapi pembangkang dalam erti kata yang sebenar,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas pelantikan Hamzah itu.

Tambahnya, ini juga merupakan masanya untuk melihat pembangkang diberikan peruntukan, hak dan pelbagai kemudahan yang sama dengan kerajaan.

“Mungkin kita sudah boleh bercakap tentang pembangkang diberi peruntukan yang sama dengan kerajaan, ada akses kepada maklumat, diberi dana, diberi ruang yang secukupnya untuk membuat semak dan imbang dengan dibesarkan akses kepada jawatan-jawatan khas di Parlimen, itu antaranya lah.

“Siapa juga nanti menjadi ketua pembangkang, maka jawatan itu benar-benar boleh diguna pakai dan dimanfaatkan sepenuhnya bagi perjalanan demokrasi negara,” jelasnya lagi.

Pelantikan Hamzah sebagai ketua pembangkang adalah di luar jangkaan [VIDEO]

Author

Pilihan Editor