HomeBeritaIbu bapa mangsa renjatan eletrik terima pencen penakat, faedah pengurusan jenazah

Ibu bapa mangsa renjatan eletrik terima pencen penakat, faedah pengurusan jenazah

TUMPAT: Seorang daripada tiga mangsa maut akibat renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak, Kelantan, menerima Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Jenazah.

Pemberian itu diserahkan oleh Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Nora Yaacob kepada keluarga Allahyarham Sakinah Mohd Nadzir, 29, dalam kunjungan beliau ke kediaman keluarga arwah, hari ini.

Menurut Nora, Skuad Perkeso Prihatin mengesan maklumat keluarga dengan menghubungi Pemilik Tadika Al-Munir, Kampung Berangan iaitu tempat kerja mangsa dan semakan juga mendapati arwah Sakinah layak menerima tuntutan Pencen Penakat.

“Pencen Penakat minimum yang diterima adalah sebanyak RM332.50 yang akan diterima secara bulanan oleh ibu bapanya iaitu Mohd Nadzir Mohamed, 67, dan Zainun Sulaiman, 62, sehingga akhir hayat.

“Ia turut diterima oleh adik lelaki mangsa yang kini berumur 19 tahun sehingga usianya mencecah 21 tahun nanti.

“Pada masa kematiannya, Allahyarham Sakinah masih bujang dan belum berkahwin sekali gus membolehkan kedua ibu bapanya layak menerima Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM1,000 setiap seorang,” katanya seperti dilapor Berita Harian pada Khamis.

Pada masa sama, Nora mengingatkan agar orang ramai supaya membuat bayaran caruman Perkeso sebagai persediaan pada masa hadapan.

“Betapa pentingnya untuk orang ramai membuat caruman kerana ia sangat bermanfaat apabila berlaku sebarang keuzuran, kemalangan atau kematian,” ujarnya.

Untuk rekod, pada Isnin lalu, Sakinah bersama kakaknya, Nurul Syazwani, 33 serta adiknya, Noor Fathiah, 27, maut akibat terkena renjatan elektrik selepas terpegang sebatang tiang dipercayai mempunyai aliran elektrik di rumah jirannya ketika melihat air banjir.

Ketiga beradik itu meninggal dunia di lokasi kejadian dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak dalam satu liang.

Author

Pilihan Editor