HomeBeritaIndividu 'misteri' jelaskan kos guaman wanita disaman madrasah

Individu ‘misteri’ jelaskan kos guaman wanita disaman madrasah

KUALA LUMPUR: Nasib seorang wanita yang didakwa membuat laporan palsu berikutan anaknya dikurung secara salah dan didera oleh pihak madrasah di Shah Alam, baru-baru ini mendapat perhatian banyak pihak.

Terbaharu, seorang individu yang enggan didedahkan identitinya sudi menghulurkan bantuan dengan membantu membiayai kos guaman wanita itu, Zuraina Zamri.

Kos guaman terbabit melibatkan aspek pengurusan ketika wanita itu menerima Letter of Demand (LOD) daripada madrasah berkenaan dengan tuntutan saman RM10 juta kerana dakwaan anaknya dikurung secara salah dan didera.

Namun selepas peguam yang mewakili Zuraina ketika itu, iaitu Nizam Bashir daripada Bashir & Co menghantar surat balas jawapan, tuntutan saman itu tidak diteruskan.

Zuraina, yang mengesahkan perkara itu meluahkan rasa syukur atas keprihatinan orang ramai yang budiman dan mengikuti perkembangan kes berkenaan.

Katanya, individu terbabit tampil membantu sebaik mendengar penjelasan daripada pihak peguam berhubung isu berkenaan.

“Saya dimaklumkan pihak peguam ketika itu, hamba Allah yang selesaikan bayaran dan katanya ia sebagai zakat.

“Individu itu nak tolong selepas mendengar cerita mengenai madrasah itu,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Pertuduhan terhadap surirumah berkenaan mula tular selepas usahanya menyelamatkan anaknya di madrasah yang tular pada Ogos lalu, dibuat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Untuk rekod, anak Zuraina, yang juga bekas pelatih madrasah berkenaan telah membuat dua laporan polis masing-masing pada 23 Ogos dan 25 September, mendakwa dia dikurung secara salah dan diseksa di Madrasah Darussolihin yang kini bertukar nama Pusat Pemulihan Darussolihin di Jalan Kebun, Shah Alam.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden Perkid, Masridzi Sat memaklumkan, pihak madrasah akan membuat saman fitnah sebanyak RM10 juta jika pihak remaja tersebut tidak meminta maaf.

“Selesai pihak peguam hantar notis saman fitnah, tempoh tujuh hari untuk mohon maaf atau berdepan ganti rugi RM10 juta… Jumpa di mahkamah,” tegas beliau melalui satu hantaran di Facebook, pada 28 September lalu.

Author

Pilihan Editor