HomeBeritaJawatankuasa khas pantau kos sara hidup diwujudkan - Zahid

Jawatankuasa khas pantau kos sara hidup diwujudkan – Zahid

SHAH ALAM: Satu Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Kos Sara Hidup telah diwujudkan bagi menangani isu kos sara hidup rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatankuasa itu dibentuk atas arahan dan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencari penyelesaian terbaik dalam menangani isu tersebut.

Menurutnya, jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan oleh beliau sendiri yang akan mengadakan perbincangan dengan semua pemegang taruh dalam mencari jalan penyelesaian holistik dalam isu kos sara hidup.

“Saya mempengerusikan sendiri jawatankuasa itu dan saya telah bekerjasama dengan menteri- menteri tertentu yang menjaga portfolio mengenai kos sara hidup ini bersama semua ketua-ketua setiausaha kementerian dan ketua-ketua pengarah serta lain-lain pegawai kanan di setiap kementerian untuk menangani permasalahan ini secara tuntas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Terdahulu, beliau hadir ke Majlis Ramah Mesra bersama TPM anjuran Persatuan Penganut Kuil Sri Maha Kaliamman di Batu 8, Jalan Bukit Kemuning di sini yang turut disertai Ahli Parlimen Klang yang juga exco negeri Selangor, V. Ganabatirao.

Tambahnya, usaha menangani kos sara hidup tinggi yang membelenggu rakyat adalah menjadi keutamaan jawatankuasa itu dalam mencari kaedah terbaik secara bersama dan ia merupakan agenda utama Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Anwar

Zahid turut melahirkan rasa kagum dengan Perdana Menteri yang berjaya membawa pembaharuan segera dalam tempoh genap sebulan menjadi Perdana Menteri di bawah Kerajaan Perpaduan tanpa menghampakan harapan rakyat.

Katanya, dalam tempoh 30 hari pertama, Anwar berjaya melakukan beberapa pendekatan baharu yang memberangsangkan.

“Satu perkara dijadikan keutamaan beliau ialah kos sara hidup rakyat yang menjadi keluhan selama ini.

“Ini telah diumumkan bukan sahaja dalam tarif elektrik tetapi juga penyelesaian terhadap kekurangan bahan-bahan makanan utama, bukan hanya dapat pertahankan harga, malah dapat dikurangkan dengan pelbagai kaedah yang dilakukan termasuk penurunan petrol,” ujar beliau lagi.

Menurut beliau, beberapa pengumuman dilakukan dan perubahan yang diumumkan setiap kali selepas mesyuarat Kabinet setiap minggu sudah tentu suatu yang melegakan kebanyakan rakyat dan dilihat sebagai pendekatan baharu PM.

Author

Pilihan Editor