HomeBeritaKeadaan banjir di empat negeri bertambah baik

Keadaan banjir di empat negeri bertambah baik

 

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Terengganu, Kelantan, Perak dan Sarawak bertambah baik petang ini dengan jumlah mangsa menunjukkan trend penurunan berbanding pagi tadi, manakala jumlah mangsa akibat fenomena air pasang besar di Sabah meningkat.

Di Terengganu, keadaan banjir terus bertambah baik apabila jumlah mangsa yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) terus menunjukkan penurunan kepada 3,908 berbanding 5,810 orang pagi tadi, dengan semua PPS di Setiu telah ditutup.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan, kini sebanyak 30 PPS masih beroperasi di enam daerah yang menempatkan 1,182 keluarga dan keadaan cuaca hari ini juga dilaporkan cerah.

Kuala Terengganu merekodkan seramai 539 mangsa, Besut (233), Dungun (575), Marang (76), Hulu Terengganu (1,105) dan Kuala Nerus (1,380).

Di Kelantan, seramai 7,746 mangsa banjir daripada 2,561 keluarga berlindung di 19 PPS, membabitkan jajahan Pasir Mas dan Tumpat petang ini, berbanding 12,786 mangsa banjir daripada 4,393 keluarga pagi tadi, menurut kenyataan JPBN negeri itu.

Semenatara itu, berdasarkan laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/, hanya satu sungai utama melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dengan bacaan 9.30 meter.

Di Perak, bilangan mangsa banjir menurun sedikit kepada 62 orang membabitkan 14 keluarga di daerah Hilir Perak, setakat jam 4 petang tadi, berbanding 75 orang daripada 19 keluarga sebelum itu.

Sekretariat JPBN Perak memaklumkan PPS SK Sungai Tiang Darat di Bagan Datuk yang sebelum ini menempatkan 13 mangsa daripada lima keluarga di daerah itu, ditutup sepenuhnya hari ini pada pukul 12 tengah hari tadi dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Jumlah mangsa banjir di SARAWAK pula menyaksikan penurunan mendadak setakat 3 petang ini apabila hanya 84 mangsa daripada 27 keluarga dilaporkan berada di PPS, berbanding 1,424 orang daripada 381 keluarga pagi tadi.

Menurut JPBN Sarawak, hanya satu PPS bagi bencana banjir beroperasi di negeri itu iaitu Dewan Serbaguna Kampung Rimba Padi, Serian.

Di Sabah mangsa banjir yang dipindahkan di Kota Belud kekal 212 mangsa daripada 77 keluarga petang ini dengan 62 mangsa daripada 28 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan manakala 150 mangsa daripada 49 keluarga di PPS Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa.

Sementara itu, jumlah penduduk di persisir pantai terutama yang tinggal di rumah atas air dipindahkan akibat fenomena air pasang besar, bertambah kepada 1,151 mangsa daripada 241 keluarga petang ini berbanding 937 mangsa daripada 207 keluarga pagi tadi.

Seramai 376 daripada 63 keluarga dipindahkan di sebuah PPS di Sandakan, 54 mangsa daripada 15 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di Kota Kinabalu, manakala 721 mangsa daripada 163 keluarga dipindahkan ke enam PPS di Pitas. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor