HomeBeritaKerajaan aktifkan PPS lebih awal sebelum banjir - Zahid

Kerajaan aktifkan PPS lebih awal sebelum banjir – Zahid

CYBERJAYA: Ramalan cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan menjadi rujukan utama buat kerajaan dalam mengaktikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu bagi membolehkan PPS diaktifkan lebih awal sebelum banjir melanda kawasan terbabit.

Menurutnya, kerajaan turut mengambil inisiatif proaktif menerusi kerjasama dengan MetMalaysia di beberapa kawasan yang diramal menerima jumlah taburan hujan yang mengakibatkan banjir.

“Ini bagi mengelakkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda atau kehilangan dokumen-dokumen penting.

“Jadi ini adalah langkah baharu. Kedua, buat pertama kalinya badan sukarela bersama-sama dengan jawatankuasa ini dan kita mahu di peringkat nasional, negeri, daerah serta PPS usaha-usaha sukarelawan diterlibatkan.

“Ia bagi bukan sahaja mengurangkan beban tugas untuk melihat keberkesanan menyelesaikan banjir terutama kepada mangsa-mangsa,” kata Ahmad Zahid seperti dilapor Astro Awani hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada Selasa.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, tiga kawasan utama yang menjadi tumpuan ialah Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu); Sabah (Pantai Timur); serta Sarawak (Pantai Barat).

Tambahnya lagi, Kerajaan Perpaduan memberi jaminan bahawa bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang disalurkan oleh kerajaan terdahulu akan diteruskan seperti biasa.

Malahan, beliau turut mengarahkan supaya agensi pengurusan banjir memberi layanan sama rata kepada Kerajaan Negeri tanpa mengira di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

“Selain itu, masalah penyelesaian jangka panjang bagi pengurusan banjir terutamanya bagi penyediaan tebatan banjir secara holistik.

“Kita dimaklumkan satu (projek) dan perancangan jangka panjang hingga tahun 2100. Namun. lebih penting ialah penyelesaian dicari sekarang dan bukan menggunakan pendekatan mengikut banjir ramalan MetMalaysia (untuk memindahkan mangsa).

“Begitu juga kawasan muka bumi di bawah aras laut memerlukan penyelesaian jangka panjang kerana masalah banjir termenung berlaku di banyak tempat,” ujarnya.

Terdahulu, MetMalaysia meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang berterusan berlaku di kawasan pantai barat Semenanjung, barat Sabah dan utara Sarawak pada sebelah petang hingga awal malam dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Author

Pilihan Editor