KUALA LUMPUR: Koperasi Jabatan Kerja Raya Malaysia Berhad (KoJKRMB) terus prihatin membantu pertubuhan dengan mendapatkan peralatan keselamatan berkualiti untuk anggota ketika menjalankan tugas di tapak pembinaan dan jalan raya.
Menurut satu kenyataan, KoJKRMB hari ini memeterai memorandum persefahaman bersama Syarikat Sinar Selamat Sdn Bhd (Sinar Selamat) sebagai antara menyokong usaha Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia memastikan projek pembangunan dilaksanakan mengikut peruntukan peraturan dan perundangan.
Katanya, Sinar Selamat adalah syarikat Bumiputera yang mengeluarkan dan memasarkan peralatan keselamatan diri (Personal Protective Equipment-PPE), peralatan keselamatan jalan raya yang diiktiraf Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dam SIRIM.
“Usaha itu adalah kerjasama strategik dalam memasarkan produk berkualiti kepada semua kontraktor berjaya memenangi tender kerja termasuk konsesi penyelenggaraan jalan.
‘Jalinan kerjasama ini juga membabitkan perkongsian data, maklumat, pengetahuan, kepakaran, teknologi dan produk melalui analisis dan maklum balas,” menurut kenyataan itu.
Memorandum persefahaman itu diadakan pada Majlis Perasmian Hari Profesion Teknikal Negara (HTPN) di sini hari ini, di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, di sini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.
Mengungguli Teknologi Melonjak Pembangunan adalah tema sambutan HPTN tahun ini dengan mengambil kira transformasi penggunaan teknologi terkini khususnya di dalam bidang teknikal, di samping menggalakkan golongan muda sertai profesion teknikal.