LIVERPOOL dan PSV Eindhoven mencapai kata sepakat apabila kedua-dua kelab telah bersetuju dengan perjanjian €50 juta (£44 juta) untuk penyerang kebangsaan Belanda, Cody Gakpo.
Kedua-dua kelab itu mengadakan perbincangan pada malam Isnin dan Liverpool berjaya untuk mengetepikan persaingan dari Manchester United. Sebelum ini, Manchester United telah mengadakan rundingan tetapi masih belum memuktamadkan tawaran kewangan yang telah dikemukakan oleh PSV.
Dalam satu kenyataan di Twitter, PSV menulis: ‘PSV dan @LFC telah mencapai persetujuan mengenai cadangan pemindahan Cody Gakpo. Penyerang berusia 23 tahun itu akan berlepas ke England dalam masa terdekat di mana dia akan tertakluk kepada formaliti yang diperlukan sebelum selesai perpindahan’.
PSV and @LFC have reached an agreement on the proposed transfer of Cody Gakpo.
The 23-year-old attacker will leave for England imminently where he will be subjected to the necessary formalities ahead of the completion of the transfer.
— PSV (@PSV) December 26, 2022
Sebelum ini, Gakpo mendapat tawaran daripada Leeds dan Southampton pada musim panas lalu tetapi memilih untuk kekal di PSV selepas kelab Belanda itu menolak tawaran.
Leeds menawarkan £25 juta tambah tambahan untuk Gakpo pada musim panas tetapi ia ditolak, dengan PSV percaya tambahan itu tidak realistik.
Pemain berusia 23 tahun itu memilih untuk menunggu tawaran daripada kelab yang bertanding dalam Liga Juara-Juara Eropah.
Perpindahan Gakpo ke Liverpool sesuai untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Luis Diaz akibat kecederaan dan kini sedang menjalani pembedahan lututnya manakala Darwin Nunez sedang bergelut untuk mencari rentaknya selepas berpindah dari Benfica.