KAPTEN pasukan Argentina, Lionel Messi mengesahkan final Piala Dunia Qatar merupakan penampilannya yang terakhir.
“Saya berasa sangat gembira mencapai kejayaan ini, menamatkan perjalanan Piala Dunia saya dengan bermain dalam perlawanan terakhir saya di final.
“Menantikan Piala Dunia seterusnya memakan masa banyak tahun dan saya tidak fikir saya dapat melakukannya.
“Untuk menamatkannya seperti ini, ia adalah yang terbaik,” katanya kepada media Argentina, Diario Deportivo Ole.
Messi, 35, menerajui kemenangan 3-0 Argentina ke atas Croatia pada aksi separuh akhir awal pagi tadi.
Kejayaan itu membuka peluang untuk dirinya meraih kap ke-172 hujung minggu ini dalam misi Argentina memburu gelaran Piala Dunia pertama negaranya selepas tahun 1986.
“Kami tinggal selangkah lagi, selepas berjuang hebat, dan kami akan memberikan segalanya untuk cuba merealisasikannya kali ini,” ujarnya.
Untuk rekod, Piala Dunia 2022 merupakan edisi kelima buat Messi beraksi, mengatasi rekod empat edisi, Diego Maradona dan Javier Mascherano.
Dengan gol kelimanya di Qatar, dia juga mengatasi Gabriel Batistuta sebagai penjaring terbanyak Albiceleste di Piala Dunia, meledak 11 gol.