HomeBeritaPemimpin terlibat kluster mahkamah seolah disucikan - Wira PUTRA

Pemimpin terlibat kluster mahkamah seolah disucikan – Wira PUTRA

CYBERJAYA: Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif menegaskan kewujudan kluster mahkamah bukan sekadar wayang politik.

Nasrul berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad ialah dalang di sebalik naratif kluster mahkamah UMNO.

Nasrul berkata, kenyataan Puad itu membuatkan seolah-olah naratif tersebut hanya rekaan sedangkan terdapat tertuduh yang telah pun dijatuhkan hukuman di Mahkamah Persekutuan.

“Jika pemimpin-pemimpin tersebut tak didakwa semua isu salah guna kuasa, rasuah atau penggubahan wang haram yang dilakukan pemimpin UMNO selama ini langsung akan sunyi sepi dan lenyap begitu sahaja.

“Pemimpin yang terlibat seolah telah disucikan kerana mereka memegang jawatan tertinggi dan menguasai pemimpin di akar umbi.

“Hakikatnya, apabila berlaku pendakwaan banyak pendedahan dan bukti-bukti yang dikeluarkan dan hujah-hujah bagi menyokong fakta dan bukti kes tersebut,” jelasnya dalam kenyataan pada Khamis.

Nasrul turut membangkitkan adakah perkara tersebut fitnah jika ada bukti dan fakta yang tidak boleh disangkal, tambahnya adakah hakim yang menjatuhkan hukuman perlu disalahkan dalam isu ini.

“Meletak Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘punching bag’ dengan alasan pendakwaan terpilih dan beliau adalah dalang bukan tuduhan bijak. Rakan sekutu UMNO terkini daripada Pakatan Harapan (PH) juga pernah terlibat dan memperjuangkan hal tersebut sebelum ini.

“Jangan kerana nak jalin hubungan dan dapatkan kuasa bersama kumpulan yang juga sebelum ini menjadi dalang sampai sanggup berkokok berderai-derai, tetapi tak sedar ekor bergelumang dengan tahi,” tegasnya lagi.

Author

Pilihan Editor