HomeSukanPiala AFF: Pan Gon kagum dengan aksi hebat Mickey menentang Laos

Piala AFF: Pan Gon kagum dengan aksi hebat Mickey menentang Laos

 

KUALA LUMPUR: Aksi cemerlang pemain sayap sensasi negara, Mohamad Faisal Abdul Halim ketika Malaysia menewaskan Laos 5-0 pada saingan Kumpulan B Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini malam tadi, ternyata menarik perhatian Kim Pan Gon.

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya itu mengakui beliau tidak gemar mengiktiraf mana-mana pemain, namun pengendali berasal dari Korea Selatan itu tiada pilihan selain memberi pujian kepada Mohamad Faisal atau lebih dikenali sebagai ‘Mickey’.

“Anda tahu sukar untuk berkongsi tentang individu (memuji mana-mana pemain) kerana yang lebih diberi perhatian ialah pasukan secara keseluruhannya tetapi saya percaya beliau (Faisal) pemain yang bagus,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu di sini.

Mohamad Faisal yang meledak jaringan kemenangan ketika Malaysia menewaskan Myanmar 1-0 pada aksi pembukaan kumpulan Rabu lepas, menanduk masuk dua gol masing-masing berpunca hantaran cantik Muhammad Safawi pada minit ke-65 dan Mohd Nor Hakim tiga minit kemudian.

Jaringan bekas pemain Terengganu FC itu mencetuskan keriuhan peminat selepas beliau meraikan jaringannya seperti bintang bola sepak Portugal Cristiano Ronaldo ‘Siuu’ sebanyak dua kali.

Gol itu menjadikan pemain baharu Selangor FC itu mengumpul tiga gol dalam carta kejohanan sekali gus menjadi penjaring terbanyak Harimau Malaya dalam saingan itu setakat ini.

Malaysia yang kini menduduki tangga teratas kumpulan dengan mengumpul enam mata, akan berdepan juara dua kali, Vietnam pada pertembungan di Stadium My Dinh, Hanoi, Selasa ini (27 Dis). – BERNAMA

 

Authors

Pilihan Editor