DOHA: Pasukan England telah pulang ke tanah air tanpa membawa balik trofi selepas kekalahan tipis kepada Perancis di peringkat suku akhir Piala Dunia Qatar pada Sabtu, tetapi pemain pertahanan John Stones dan Kyle Walker telah menjalin persahabatan baharu.
Seekor kucing jalanan di Qatar yang diberi nama Dave telah menambat hati dua pemain Manchester City itu dan mereka membawanya pulang.
Dave dibawa ke klinik veterinar tempatan untuk ujian dan vaksinasi.
Dia perlu menjalani kuarantin selama empat bulan sebelum dibenarkan tinggal di rumah baharunya di England, lapor Xinhua.
“Hari pertama kami tiba di sana … Dave muncul.
“Setiap malam dia berada di sana menunggu makanannya,” kata Stones.
Selepas sebulan, kedua pemain itu memutuskan untuk membawa Dave pulang kerana mereka menyayanginya dan tidak mahu meninggalkannya.
Kucing lain turut menjadi tajuk utama ketika kejohanan Piala Dunia berlangsung.
Seorang pegawai media Brazil dikritik selepas mengangkat haiwan itu di bahagian leher dan menjatuhkannya secara tidak sengaja ke lantai ketika sesi sidang media oleh penyerang Brazil, Vinicius Jr. – BERNAMA