HomeBeritaPrihatin nasib mangsa banjir, AgroBank tawar moratorium sehingga enam bulan

Prihatin nasib mangsa banjir, AgroBank tawar moratorium sehingga enam bulan

CYBERJAYA: Syarikat perbankan, AgroBank memperkenalkan Pelan Bantuan Banjir khusus buat pelanggan-pelanggan yang terkesan.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif AgroBank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pelan itu dirangka khas bagi membantu mereka membangunkan semula perniagaan selepas terlibat dalam bencana berkenaan.

“Pelan ini menawarkan penjadualan dan/atau penstrukturan semula pembiayaan (R&R) dan tawaran moratorium sehingga enam (6) bulan sebagai sokongan membantu para pelanggannya yang terkesan berikutan kejadian banjir yang melanda sejak seminggu lalu.

“Pelanggan yang terkesan boleh menlengkapkan e-form di pautan berikut, https://www.agrobank.com.my/my/flood2022/ atau boleh terus hubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Agrobank di talian 1-300-88-2476,” maklum Agrobank menerusi hantaran di Facebook.

Selain daripada dua tawaran itu, Agrobank turut memberikan pengecualian caj bagi penggantian kad ATM dan buku simpanan yang musnah akibat banjir.

“Bagi pelanggan yang layak, mereka boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan yang ditawarkan ini menerusi borang yang disediakan di laman sesawang Agrobank,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohammad Sabu berharap inisiatif yang ditawarkan AgroBank dapat membantu para pelanggan yang terjejas banjir.

“Untuk makluman semua, pihak MAFS mengikuti rapat situasi banjir yang sedang melanda negara kita sekarang ini dan MAFS juga sedang menilai jumlah kerugian yang dialami oleh sektor pertanian negara serta memastikan kecukupan bekalan makanan di kawasan banjir.

“InsyaAllah beberapa hari lagi MAFS akan mengumumkan beberapa jenis bantuan dan sokongan yang akan diberikan kepada mangsa-mangsa banjir, khususnya kepada pesawah, petani dan nelayan,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor