KUALA LUMPUR: Persatuan Pemborong Malaysia (PPM) dengan kerjasama Pusat Borong GM Klang (GM Klang) telah memulakan acara promosi penghabisan stok hari ini sehingga 4 Januari 2023 bagi menghangatkan kedatangan tahun baharu.
Pengurus Komunikasi Jenama, Norsuhaida Othman berkata, acara tersebut akan berlangsung di tingkat bawah Block B bermula jam 10 pagi sehingga 8 malam, menampilkan lebih 30 tapak jualan dengan tawaran pelbagai jenis produk dan harga promosi menarik bersempena sambutan ulang tahun ke-10 PPM.
“Ini bukan sahaja dapat membantu para peniaga mempromosikan produk mereka dengan lebih santai kepada para pembeli, tetapi juga memberi peluang kepada para pembeli mendapatkan produk dengan harga jauh lebih rendah berbanding biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norsuhaida berkata, GM Klang bukan sahaja sebuah tempat yang sentiasa menggalakkan aktiviti perniagaan malah sebuah titian perhubungan bagi komuniti bisnes.
“Inilah antara sebab kami sentiasa memberikan sokongan kepada PPM atas usaha mereka memupuk semangat keusahawanan dan menerapkan sikap proaktif dan inovatif di kalangan ahli mereka yang ada juga merupakan peniaga di GM Klang sendiri,” katanya. – BERNAMA