HomeBeritaPusat Pelancongan Bukit Malawati ditutup sementara

Pusat Pelancongan Bukit Malawati ditutup sementara

KUALA SELANGOR: Pusat Pelancongan Bukit Malawati ditutup sementara bermula 27 Disember 2022 bagi pelaksanaan kerja-kerja pembaikan runtuhan tanah oleh pihak berkuasa tempatan.

Kejadian runtuhan tanah di pusat pelancongan berkenaan yang berlaku pada Ahad dipercayai berpunca daripada pokok berusia 50 tahun tumbang akibat hujan lebat disusuli dengan angin kencang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli berkata, beliau menerima maklumat kejadian sekitar kira-kira jam 7 pagi yang disaksikan seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika melakukan tugasan pemantauan.

“Kejadian itu menyebabkan hakisan dan pergerakan tanah. Berkemungkinan juga akibat musim hujan sejak kebelakangan ini menyebabkan keadaan tanah tidak stabil.

“Selain itu, faktor pokok yang sudah uzur dan perlu ditebang lebih awal bagi mengelak kejadian seperti ini,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Susulan itu, beliau memaklumkan bahawa anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) giat menjalankan pembersihan.

Tambahnya, rentetan kejadian terbabit, pusat pelancongan Bukit Malawati ditutup sementara bagi tujuan pembersihan dan baik pulih demi keselamatan pengunjung.

“Terima kasih diucapkan kepada semua anggota yang terlibat. Semoga seluruh rakyat Kuala Selangor dilindungi Allah SWT,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor