HomeMV+PendapatRombak sistem penguatkuasaan PBT demi kepentingan awam

Rombak sistem penguatkuasaan PBT demi kepentingan awam

SETIAP kali berlaku tragedi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan membisikkan ke telinga Pak Menteri, “YB mereka ini beroperasi tanpa lesen”.

Maka ayat yang sama akan dilantunkan kembali bagaikan burung kakak tua kepada wartawan.

Hakikatnya sistem penguatkuasaan PBT haruslah dirombak keseluruhan urus tadbirnya dan diletakkan di bawah satu pemusatan kuasa Kerajaan Negeri Selangor.

Kenapa? Hanya dengan itulah pembangunan sistem pemantauan menyeluruh boleh dilaksanakan.

Pemutihan, penyusunan semula ikut fungsi untuk pastikan undang-undang PBT ini masih relevan contohnya orang ramai yang memohon tanah pertanian biasanya melanggar syarat dengan menjadikannya pusat pelancongan.

Mengapa hanya selepas berlakunya apa-apa tragedi bencana baharulah diketahui bahawa pihak yang terlibat tidak memiliki lesen dan telahpun melanggar undang-undang sedia ada, bertahun-tahun lamanya?

Pencemaran air akibat kilang beroperasi tanpa lesen di Selangor (sumber foto Google)

Ia bukan isu baharu, cuba imbas kembali apabila kecoh pencemaran sumber air empangan Selangor berpunca daripada kilang-kilang haram di atas tanah milik kerajaan Selangor tanpa lesen dan permit.

Contoh kedua yang viral selepas PKP kedai permainan judi online di Sungai Buloh Selangor beroperasi dalam kawasan PBT.

Kedai judi online di Sungai Buloh Selangor beroperasi 24 jam ketika PKP (sumber foto Buletin Online)

Selepas itu isu rumah pemulihan guna nama madrasah di Shah Alam beroperasi juga tanpa lesen sejak 20 tahun lalu.

Sidang media bekas penghuni madrasah yang beroperasi sebagai rumah pemulihan tanpa lesen di Shah Alam Selangor sejak 20 tahun

Tapak pesta ‘fun fair’ di Shah Alam Selangor juga nyaris mengorbankan nyawa tiga kanak-kanak, juga beroperasi tanpa lesen.

Tiga kanak-kanak tercampak dan cedera di tapak pesta ‘fun fair’ beroperasi tanpa lesen di Shah Alam Selangor

Terkini, 24 nyawa terkorban selepas ditemui tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm Batang Kali, Selangor juga beroperasi tanpa lesen.

Operasi mencari mangsa tertimbus dalam tanah runtuh di pusat perkhemahan tanpa lesen di Batang Kali Selangor (foto APM)

Sampai bila masalah ini akan berulang? PBT masih guna alasan sama tanpa penyelesaian holistik atau peringkat akar umbi iaitu penguatkuasaan.

Sudah tiba masanya Bahagian Penguatkuasa PBT disepadukan menjadi mata dan telinga Kerajaan Negeri Selangor dengan lebih cekap bagi membendung salah laku dan ketirisan kutipan hasil.

Unit penguatkuasaan PBT seharusnya boleh digembelengkan ke mana-mana pelusuk negeri Selangor untuk memantau aset kerajaan Negeri bawah seliaan PBT.

Secara strategiknya, penguatkuasaan ini bertindak berdasarkan data penuh untuk dilakukan rondaan, buang budaya ‘kami bertindak berdasarkan aduan’.

Tanpa aduan pun, PBT harus lebih cakna sebagaimana mereka segera bertindak terhadap penjaja nasi lemak dan goreng pisang di tepi jalan.

Sehubungan itu, PBT harus lebih cakna memantau di lot-lot tanah kerajaan, tanah persendirian, tanah pertanian, pelancongan, komersial bagi menghalang perlanggaran syarat.

Ada rumah penempatan yang sepatutnya dihuni dijadikan sarang burung walit mengganggu jiran tetangga tetapi tidak diambil tindakan.

Mekanisme pengasingan penguatkuasaan PBT daripada YDP Daerah juga mampu mencegah berlakunya rasuah, salah guna kuasa dengan pendakwaan terpilih sehingga ada peniaga miskin yang teraniaya tetapi kartel restoran tidak pula diambil tindakan.

Kartel restoran ini biasanya memonopoli kaki lima dan petak parkir seolah milik eksklusif mereka walhal tiada kelulusan majlis.

Kita tidak mahu lagi alasan PBT mempersendakan sistem teknologi yang sedia ada, sepatutnya mereka sudah tahu kawasan mana yang ada lesen atau tidak melalui rekod perlesenan dalam komputer.

Industri perladangan telahpun menggunakan ‘remote sensing’ teknologi dron bagi mengesan dan memeta ladang-ladang untuk meningkatkan penghasilan, pihak ladang berbelanja wang untuk tujuan ini.

Adakah pihak PBT pula saban tahun berbelanja menukar jubin ‘interlocking brick’ pada siar kaki lima sahaja untuk bagi kerja kepada panel kontraktor mereka? Wang dibazirkan pada perkara yang tidak perlu.

Sama juga kes pembaziran duit PBT dengan penukaran papan tanda jalan dalam Bahasa Melayu ke bahasa Cina di Kampung Melayu Subang Selangor pada tahun 2018 sehingga perkara ini ditegur Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda menitahkan semua papan tanda nama jalan bertulisan Cina di daerah ini ditanggalkan dan diganti serta-merta.

Berbalik kepada isu premis tanpa lesen, mereka bukanlah  ‘halimunan atau ghaib di alam sebalik mata’ jika penguatkuasa hadir di lokasi terbabit.

Premis itu tidak boleh bergerak ke mana-mana pun, melainkan memang sengaja tidak mahu diambil tindakan.

Unit penguatkuasa sedia ada  telah pun dibekalkan dengan segala logistik canggih, kenderaan pacuan empat roda, van dan lori yang seharusnya digunakan bagi tujuan rondaan dan operasi.

Ke mana perginya aset-aset ini? Kenapa tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk rondaan berkala?

Kesimpulannya dengan mengasingkan penguatkuasa PBT dari majlis daerah akan mengelakkan budaya favoritisme atau tunduk kepada YDP Daerah masing-masing.

Menerusi langkah ini, pihak penguatkuasa bebas bergerak ke mana-mana daerah yang disyaki melakukan perlanggaran syarat  dan ambil tindakan serta-merta.

Sebagai contoh apabila berlaku banjir besar di Hulu Langat Selangor pada Disember 2021, PBT dari daerah lain turut hadir bantu rakyat bersihkan kawasan dengan jentera dan tenaga masing-masing. Inilah contoh yang sepatutnya diteruskan dengan lebih kemas.

Sumber foto Google

Langkah ini sebagaimana aspirasi Kerajaan Perpaduan iaitu memastikan perlindungan ‘shelter to the people’ dan keselamatan kepada rakyat menjadi keutamaan.

 

Author

Pilihan Editor